Tujuan blog ini ditulis : Mencatat peristiwa yang berlaku sepanjang hari dan meluahkan apa yang terbuku di dalam hati ini.
22 December 2009
Kedah, syurga makanan.
Sampai ke kedah, keluargaku sudah menunggu.Mak dan Kak Cik bertungkus lumus memasak nasi dengan pelbagai lauk untuk dijamu kepada orang-orang yang membantu mengangkat barang.Ramai rakan-rakan suami dari IPD Yan turut membantu.Sambil mengangkat barang, sambil bergurau.Kerja yang berat terasa ringan.Seronok aku lihat semuanya menjamu selera dengan hasil masakan emak dan Kak Cik.
Hari ini, aku semakin selesa tinggal di sini.Setiap pagi, mencari sarapan bukan lagi satu masalah.Dengan hanya membawa wang RM3 aku boleh mendapat 6 bungkus nasi lemak daun pisang.Makanan kesukaan Danial.Dengan RM1 aku boleh mendapat 4 ketul kuih.Jika di Lukut, dengan RM1 hanya 2 ketul kuih mampu aku perolehi.Minum petang? bukan lagi masalah.Deretan gerai yang menjual pelbagai juadah di Sungai Yan menggamit aku kesana setiap petang.Jemu makan nasi, sekali sekala aku membeli bihun sup utara atau mee udang yang lazat sekali dengan hanya RM2.50 sebungkus.Kalau kat Lukut, tak dapat dengan harga sebegini.Aku perhatikan kebanyakan harga makanan di sini lebih murah antara 50sen-RM1 jika dibandingkan dengan Port Dickson.
Satu lagi yang seronoknya tinggal di sini, pada pagi Isnin berdekatan dengan rumah sewaku, terdapat satu pekan hari yang orang sini panggil Nat.Kat sini banyak ikan yang masih segar-segar kerana ramai nelayan yang datang berniaga dengan membawa hasil tangkapan yang baru ditangkap.Harganya memang lebih murah dari di pasar.Ikan sembilang yang dijual masih lagi hidup dan melompat-lompat di atas plastik yang dihampar di atas tanah.Udang yang dijual juga bukanlah hasil ternakan sepertimana di PD sebaliknya hasil tangkapan di sungai.Walaupun harganya lebih sedikit, tetapi memang berbaloi kerana isinya yang manis dan bersari.
Jika di PD jika ingin menikmati ikan bakar yang lazat terpaksa menunggu malam tetapi di sini, makan tengah hari juga ada dihidangkan ikan bakar yang lazat.Jelatang Ikan Bakar.Salah satu restoran yang menjual ikan bakar yang lazat.Sepanjang laluan, terdapat banyak sekali restoran atau gerai makanan.Bersepah-sepah.pilih sahaja yang mana satu.Sarapan pun boleh jumpa makanan seperti makan tengah hari kerana penduduk di sini bersarapan dengan makan makanan yang berat seperti nasi dan lauk.
Jika ke Tanjung Dawai, memanglah syurga makanan laut.Namun, aku masih belum berkesempatan ke situ kerana kaki suamiku masih belum sembuh sepenuhnya.Masih bertongkat.Suamiku agak segan ke tempat awam dengan berkeadaan seperti itu.
Danial dan Anis pula agak demand sekarang.Makan malam tak mahu makan nasi.Setiap hari nak burger.kat Lukut dulu aku malas hendak pergi ke gerai burger sebab agak jauh dari rumah.Terpaksa berkereta.Di sini, mereka sudah berani pergi sendiri kerana jarah antara rumah aku ke gerai burger hanya kira-kira 50 meter jauhnya.Lebih memudahkan, aku akan order guna telefon.5 minit kemudian, terkedek-kedek dua beradik ni pergi ambil burger yang sudah siap sekali dengan duit di tangan.Hai...makin montellah abak-anakku bila tinggal di sini...
05 December 2009
Wajah-wajah Kulaan SK Lukut
03 December 2009
Takut bawak kereta kat sini.
Ya.Aku akui itu.Hampir 2 minggu aku tinggal di sini, aku sentiasa memandu dengan penuh tumpuan.Bukanlah sebelum ini aku tidak memandu dengan sepenuh perhatian.Maksudnya jika sebelum ini aku memandu dengan 98% tumpuan, di sini pemanduan haruslah ditingkatkan lagi penumpuan sebanyak 100%.
Mana tidaknya.Selama seminggu pertama aku tinggal di sini, sudah 2 kali aku hampir berlanggar dengan orang.Kes pertama: Aku sedang memandu di jalan raya yang lurus dengan kelajuan 40km/j.Di satu simpang, kelihatan seorang pemuda berusia belasan tahun tanpa memakai topi kaledar dengan menaiki motorsikal sedang menunggang motorsikalnya.Aku dapat merasakan yang pemuda itu akan membelokkan motorsikalnya ke kiri.Ya, tepat tekaan naluriku.Tanpa memandang kiri atau kanan, pemuda itu terus membelok ke kiri.Aku yang begitu hampir dengannya kira-kira 1 meter sahaja segera menekan brek.Aku bunyikan hon.Bukan hon marah.Sekadar memberi peringatan yang perbuatannya itu berbahaya.Balasannya, pemuda itu menoleh ke arahku dan terus menunggang dengan gaya mengejek,ke tengah ke tepi dan terus memecut.Tersenyum sumbing aku.Senyum kesal kerana ego tak bertempat.Dia tak tahu kalaulah aku tak sempat brek,sudah pasti terpelanting mat motor tu.Dengan tidak memakai topi kaledar, kebarangkalian mendapat kecederaan parah adalah tinggi.
Kes kedua:Aku, suami dan anak-anak ke Alor Setar ikut jalan lama.Jalan raya yang sempit dan jumlah kenderaan yang agak banyak membuatkan pemanduan kereta perlahan.Jika hendak memotong, pastikan tidak ada kenderaan dari hadapan.Sedang leka memandu, dengan kereta yang bertali arus di hadapan, kelihatan dua buah motorsikal sedang bersaing.Dua orang pak cik tidak memakai topi kaledar sedang mununggang motorsikal masing-masing.Yang menariknya, dua orang pakcik tu berborak tanpa menghiraukan di belakang mereka terdapat kereta berderet terpaksa memandu perlahan gara-gara perbuatan mereka.Hendak memotong,keadaan tidak mengizinkan.Hendak hon, terasa tidak sopan pula.Hampir 15 minit aku mengekor pak cik berdua tu.Hai pak cik, kalau nak borak pasal padi pun, boraklah di tempat yang selamat,bukannya beremba(istilah utara) kat jalan.
Kes ketiga:Aku dan keluarga dalam perjalanan ke Yan dari Parit Buntar.Kami sampai di Yan jam sudah menunjukkan 9.30 malam.Suasana malam membuatkan aku memandu dengan penuh berhati-hati.Sedang memandu, aku nyaris terlanggar sebuah motorsikal tanpa berlampu juga sedang melalui jalan yang sama.Mujurlah aku dapat melihat motor tersebut dengan lampu kereta.Itupun sudah hampir sangat.Mujur juga aku sempat mengelak.Mujur juga aku memandu tidak laju.Sudah diingatkan oleh suamiku.Bawa bawah 70km/j di jalan-jalan di sini.urut dada aku.Kalaulah aku terlanggar belakang motor tu, sudah pasti kemalangan akan berlaku.Selepas itu, aku tidak berani memandu terlalu tepi ke kiri jalan.Mana tahu ada lagi motorsikal tidak berlampu.Malam itu, aku dan suami mengira motor yang tidak memasang lampu disepanjang jalan laluan Guar Chempedak-Yan.Ada 6 buah semuanya.
Patutlah tidak sampai setahun suamiku tinggal di sini dia ditimpa kemalangan jalan raya.Aku yang tidak sampai sebulan di sini nyaris-nyaris juga.Aku akan mengubah cara pemanduan aku di sini.Di Port Dickson, jalan raya 2 lorong bagi satu hala.Di sini satu lorong.Di Port Dickson, tidak pernah aku berjumpa orang menunggang motosikal tanpa bertopi kaledar kecuali di taman perumahan.Di sini, biasa...Di Port Dickson, jalan raya diterangi lampu jalan, di sini ada tapi jarang-jarang.Di Port Dickson, jumlah motosikal sedikit.Di sini, penuh dengan motosikal.Aku akur dengan perbezaannya.Port Dickson sebuah bandar.Di sini hanya pekan kecil.Namun begitu, sikap pemandu dan pengguna jalan raya seharusnya sama tidak kira di mana kita berada.Janganlah mentang-mentanglah kita memandu di jalan kampung, aspek keselamatan di ambil sambil lewa.Nyawa manusia amat berharga tidak kira di mana kita berada.Bagi orang-orang yang tinggal di tempat yang aku nyatakan jangan marah atau kecil hati.Ini realiti yang aku alami di sini.
Dari SKL ke SKL
Hari Isnin, minggu pertama cuti sekolah, aku, suami dan anak-anak ke JPN Kedah dengan membawa satu surat permohonan bersama deretan nama sekolah yang aku kehendaki.sangkaanku, penempatan masih belum dibuat kerana setiap panggilanku ke Unit Sekolah rendah seakan-akan tidak dilayan apabila aku bertanyakan nama sekolah aku ditempatkan."Tunggu surat, cikgu".Itulah kata-kata yang akan diberikan jika aku bertanyakan nama sekolah aku ditempatkan.
Naluri manusia tidak akan puas hati selagi teka-teki masih belum dirungkai.Aku nekad ke JPN Kedah walaupun itu kali pertama aku ke sana.Berpandukan arahan suami selaku penunjuk arah, aku akhirnya sampai ke JPN Kedah.Aku dilayan mesra oleh pengawal di pondok jaga dan bahagian kaunter.Sampai di Unit Sekolah Rendah, aku segera menyatakan hasratku.Pembantu tadbir wanita segera menyemak nama aku.Aku lihat terdapat deretan nama guru-guru yang bertukar ke Kedah dan nama sekolah mereka ditempatkan.Hek...eleh...masa aku telefon semalam kata belum buat lagi penempatan.Aku membuat kesimpulan yang 'orang' yang menyambut panggilanku'malas' nak semak nama aku dalam kertas.jalan singkat kata"tunggu surat, cikgu".sabar aje la...
" Cikgu, ditempatkan di SK Langkasuka,Yan."kata Pembantu Tadbir.Aku minta satu salinan surat untuk memudahkan aku melapor diri ke sekolah baru.Encik Moorthi selaku PT yang menguruskan penempatan guru meminta aku terus melapor diri tanpa surat kerana surat sudah dikirim ke sekolah baru.
Selesai urusan, aku ke kereta dengan hati berbunga-bunga kerana sekolah yang bakal aku ditempatkan kelak dekat sahaja dengan rumah sewa suamiku.
Hari Selasa, aku melapor diri ke SK Langkasuka.Besar juga sekolahnya.Bersebelahan dengan Pusat Giat Mara, Yan.Berhampiran dengan Rumah Budi,Yan dan tempat perkelahan Batu Hampar.Selesai urusan melapor diri, aku berbual-bual dengan seorang makcik yang hanya mahu dipanggil Mak Tam.Mak tam bekerja sebagai Pekerja Am di situ.Dari mak tam aku dapat korek serba sedikit kisah di sekolah ini."Semua Melayu cikgu.seghonok kerja kat sini cikgu.Semua baguh-baguh." Itu kata-kata mak tam dengan loghat utara yang pekat.Itu gambaran yang diberikan oleh Mak tam.Itu dari kaca matanya.Realitinya? Akan aku hadapi pada sesi persekolahan tahun hadapan.Jumlah murid-murid sekolah ini kira -kira 700 orang.Jumlah murid yang mendapat 5A pada tahun ini ialah seramai 13 orang.Satu jumlah yang agak baik bagi sekolah yang berada di kampung dan tanpa pembangunan yang rancak.Hampir sejam aku berborak dengan Mak tam.Orangnya nampak mesra dan ramah.Mudah-mudahan guru-gurunya juga begitu.Aku berdebar-debar menunggu 3 Januari 2010.
27 November 2009
Selamat tinggal SKL
18 November 2009
Danial dan Anis berat hati nak pindah...
Sudah aku ceritakan pada Danial dan Anis yang kami akan berpindah...Pindah ke Kedah.Danial dan Anis nampaknya sudah faham keadaan ini.Setiap hari mereka mengira dan menghitung hari.Rakan-rakan baik mereka juga sudah maklum hal ini."Danial dengan Anis nak pindah Kedah," sering aku dengar kata-kata itu diucapkan oleh rakan baik mereka.
"Adik seronok tak nak pindah? sengaja aku duga hati Anis."Tak seronok la mama.Kat Kedah tak ada Husna.Tak ada taman mainan..."jawab Anis."Nanti Danial tak ada kawan," Danial pulak mencelah dengan wajah yang nampak agak risau.
Ya, aku akui.Danial dan Anis cuma ada 4 orang kawan baik di sini.Husna kecik,Husna besar,Adam dan Amri.Memang ramai budak-budak yang sebaya.Tetapi, mereka agak memilih sedikit dalam berkawan.Rakan mereka aku perhatikan bukanlah budak-budak yang lasak atau nakal.Budak-budak yang agak lasak,saling bertumbuk-tumbuk,ludah-meludah bukanlah kategori rakan pilihan mereka.Rakan mereka yang aku lihat satu kepala dengan mereka budak-budak yang agak baik dan bermain dengan cara yang agak berdisiplin.Amat jarang aku lihat mereka berkelahi atau bermasam muka.Bukan aku yang mengapi-apikan mereka.Mereka sendiri yang memilih kawan begitu.Apa yang mereka main ialah bermain basikal keliling taman di hadapan rumah dan bermain ala-ala pondok-pondok.
Aku katakan pada mereka di Kedah nanti lagi ramai kawan-kawan.Apa yang penting kena bijak berkawan dan jangan buat sombong...
Anis aku tidak begitu bimbang sangat.Dia pandai bergaul dan berkawan.Danial sahaja yang memilih sikit dalam berkawan.Selalunya kawan Anis adalah kawannya juga...Danial nampaknya sudah meminta aku belikan basikal baru untuknya untuk bermain ke Kedah nanti.
Nampaknya, isu berpindah ini bukan sahaja turut merisaukan aku tetapi juga turut memberi kerisauan kepada anak-anakku.
Mulai hari ini akan aku ajar anak-anakku.AYAQ.bukan lagi AIR...MAIN ACI LIGAN bukannya MAIN KEJAR-KEJAR...yang lain...belajarlah secara beransur-ansur...
Ke Sekolah mana????
Sememangnya aku sudah menduga aku berjaya di dalam pertukaran kali ini.Gerak hati aku mengatakan itu.Dan selalunya aku percaya kepada gerak hati dan sudah acap kali juga aku membuat keputusan berdasarkan kata dan gerak hati.
Tidak putus-putus kata-kata tahniah aku terima.Aku??? entah.Hendak kata terlalu gembira pun tidak.Nak kata sedih pun tidak juga.Semuanya bercampur baur...
Sekarang ni, fikiranku masih lagi berserabut.Hingga sekarang aku masih belum menerima sebarang surat arahan pertukaran secara hitam putih.Haslinda, kawanku yang juga memohon pindah ke Kuala Lumpur sudah menerima surat pertukaran dan nama sekolah barunya.Aku??? hanya mendapat tahu negeri Kedah sahaja.Daerah mana dan nama sekolah belum lagi diketahui.Terasa hendak sahaja aku turun ke JPN Kedah untuk membantu pegawai disana menempatkan nama aku di sekolah yang berhampiran dengan tempat suamiku bekerja.Tetapi, aku tetap bersabar untuk menunggu hingga Ahad ini.Aku akan ke JPN Kedah pada hari Ahad ini untuk memastikan nama aku tidak ditempatkan di sekolah yang jauh dari tempat suamiku bertugas.
Mengikut pengalamanku semasa aku berpindah ke Lukut dahulu.Pegawai yang menempatkan guru-guru ke sekolah baru sememangnya memerlukan kerjasama daripada guru itu sendiri untuk memilih sekolah yang dikehendakinya.Dahulu, aku sendiri pergi ke JPN Negeri Sembilan dan aku bawa sekali senarai nama sekolah yang aku kehendaki.Ini memudahkan lagi tugas pegawai berkenaan kerana guru itu sendiri yang suka sekolah berkenaan dan dapat mengelakkan rasa tidak puas hati guru yang ditempatkan jauh dari tempat tinggalnya.Aku rasa aku akan buat perkara yang sama dan aku sudah survey terdapat 4 buah sekolah yang dekat dengan tempat kerja suamiku.Kalau tidak silap aku nama sekolah yang berdekatan dengan balai tempat suamiku bertugas ialah SK Sungai Limau,SK Haji Nyak Gam,SK Teroi dan SK Sg Yan.Aku akan minta jasa baik pegawai yang bertugas untuk menempatkan aku di sekolah yang aku senaraikan jika ada kekosongan.
Semalam aku sudah telefon JPN Kedah.Nampaknya berurusan melalui telefon kurang mendapat layanan.Pembantu tadbir yang melayan aku cuma meminta aku bersabar kerana penempatan akan diberikan sebelum 1 Disember ini.Itu aku tahu, tetapi apa yang aku kehendaki ialah ingin bercakap dengan pegawai berkenaan dan memberitahu nama-nama sekolah yang aku kenalpasti dekat dengan tempat kerja suamiku.Undang-undang manusia boleh dipinda dan dibawa berbincang.Ini melibatkan masa hadapanku dan melibatkan profesionku.Jika hati tidak puas hati dan ada masalah walaupun sekelumit kecil cuma, mana mungkin seorang pekerja itu memberikan komitmen yang terbaik terhadap tugasnya.Katalah aku ni cikgu yang banyak songeh...Aku tidak kisah.Asalkan aku dapat bekerja dengan hati yang gembira, ke sekolah dengan berbunga-bunga,rasa teruja dan tanpa gundah gulana.
10 November 2009
Dapat pindah sampai demam???
Aku buka baju dan selubung diri dalam selimut.Aku telan 2 biji panadol.Aku terlena hingga ke petang.
Petang itu, semasa mandi aku menggigil dengan begitu teruk sekali.Badanku rasa panas,tetapi kakiku sejuk bagai ais.Nampaknya panadol yang aku telan tidak memberi sebarang kesan.
Selepas Maghrib, aku gagahkan diri memandu kereta ke klinik Amal.Suhu badanku mencatat bacaan sehingga 40 darjah celcius.Doktor telah memberi surat cuti sakit kepadaku untuk hari esokkannya.Suamiku meminta aku agar meminta tolong pada Kak Shah untuk menghantarku ke hospital kerana menurut suamiku, kelengkapan di hospital lebih lengkap jika dibandingkan dengan klinik.Aku terasa segan la pulak menyusahkan Kak Shah malam-malam buta.
Malam itu, aku tidak dapat tidur dengan lena.Badanku sangat panas.Badan dan sendi rasa sakit yang amat.Aku mengerang kesakitan.Emaklah yang mengurut badanku hingga aku terlena entah pukul berapa.
Pagi esoknya aku gagahkan diri membuka laman web kementerian pelajaran.Hasratku untuk melihat keputusan pertukaranku tidak tertunai apabila laman web masih ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan...Sepanjang hari itu, aku hanya tidur sahaja kerana mataku terasa berpinar-pinar dan seakan hendak pitam jika aku berjalan.`
Menjelang petang sekali lagi aku cuba melihat keputusan pertukaranku.Alhamdulillah.Kali ini tercatat ayat Tahniah,pertukaran anda ke Kedah diluluskan.Emak begitu gembira sekali.Habis ditelefon long,abang cu dan kak cik untuk memberitahu keputusan pertukaranku.Aku terus lelapkan mata.Badan rasa begitu lemah.
Malam itu,sekali lagi aku tidak dapat tidur kerana sakit sendi.Aku teringat arwah bapak yang mengalami sakit-sakit sendi sebelum disahkan mengidap denggi dan membawa kepada kematian bapak.
Pagi Isnin,aku bangun pagi dan semasa hendak ke bilik air,sekali lagi aku rasa seakan hendak pitam.Aku rebahkan diri atas katil dan segera sms GPK untuk memaklumkan ketidak hadiranku ke sekolah.
Tiba-tiba emak pula dengan wajah pucat segera berbaring di atas katil.Emak juga terasa hendak pitam.Aku segera mengajak emak ke Klinik Kesihatan Port Dickson.Danial dan Anis aku minta Kak Tipah tolong jagakan sebentar.
Sampai di Klinik, deretan manusia begitu ramai.Semasa menunggu sekali lagi aku hampir pitam.Aku kuatkan semangat.
Doktor yang merawat aku meminta agar aku menjalani ujian darah kerana dia mengesyaki ada sesuatu di dalam darahku.Dengan rasa takut dan seram, aku serahkan lenganku untuk di ambil sebotol kecil darahku.
Benar jangkaan doktor.Didalam darahku terdapat virus yang menyebabkan demam aku tidak juga kebah.Doktor memberi aku cuti sakit selama 3 hari lagi dan diminta datang semula untuk diambil ujian darah sekali lagi pada hari rabu.Aku dibekalkan antibiotik yang rasa macam nak termuntah kalau sesiapa yang melihatnya.
Emak juga dibekalkan ubat-ubatan dan dan aku ajak emak makan ikan bakar semasa makan tengah hari.Aku tidak selera langsung untuk makan.Hanya 3 suap yang mampu aku telan.Emak pula aku lihat agak berselera.
Aku segera sms GPK untuk memberitahu keadaan diriku.GPK menelefon aku dan meminta agar aku berehat di rumah.
Mudah-mudahan pada hari Rabu nanti virus yang menumpang di dalam darahku dapat disingkirkan.
01 November 2009
Terima kasih si Penulis Blog...
Hari Jumaat aku telah memohon cuti tanpa rekod untuk menduduki peperiksaan ini.Sejak hari Rabu, aku ke sekolah membawa buku dan nota peperiksaan.Pantang ada masa terluang, aku akan buka dan baca nota.Tapi, selalunya paling lama pun sejam aku boleh baca dengan khusyuk.Selepas itu...pasti aku akan kalah dengan 'perbincangan meja bulat' di ruang belakang bilik guru.Selalu aku akan menempel di situ bergossip isu semasa di situ.Walaupun mulut bergossip, tapi kerja kami tetap beres.Apa tidaknya, tangan masing-masing ligat menanda buku murid,menulis leson plan dan lain-lain urusan pengkeranian lagi...tangan dan mulut bergerak sama rancak,sama kalut,sama ribut...
Itulah dia cabaran belajar sambil bekerja.Komitmen terhadap kerja jangan sampai terbarai...pengajian jangan sampai terabai...Bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah...
Malam Jumaat,sebelum menonton Nur Kasih,aku saja 'gatal tangan' mencari apa-apa bahan yang boleh membantu aku menjawab kertas Komunikasi Antara Perseorangan yang akan aku ambil pada jam 3 petang Jumaat.Tiba-tiba aku terbaca satu blog 'abubakar69....'.Tak ku sangka ada soalan ramalan untuk dua kertas yang bakal aku duduki pada 3 hari yang 'bertuah' ini. Aku segera menyalin dan mencetak contoh soalan ramalan itu.Pada malam itu aku baca soalan ini dan aku cari jawapannya berdasarkan modul yang diberi oleh UPM.
Dengan doa restu suami dan bonda tercinta aku memandu kereta dengan tenang ke tempat peperiksaan.
Jam 12 tengah hari aku sudah berada di kolej Mara Seremban.Tujuanku hanya satu.Berbincang dan berdiskusi bersama-sama teman perjuangan.Sudah pastilah soalan ramalan ini yang kami bincang dan baca untuk saat-saat terakhir.
Tanpa disangka-sangka, soalan yang diberi hampir sama dengan soalan yang ditulis di dalam blog itu...Cuma ada beberapa soalan yang ditokok tambah oleh pensyarah untuk mencukupkan 80 soalan objektif...
Untuk kertas Strategi Perhubungan Awam juga sipenulis blog memberikan contoh soalan ramalan.Soalan yang berbentuk esei ini juga aku cetak dan aku cari isi-isi yang sesuai dengan merujuk pada modul.
Alhamdulillah...90% soalan ramalan si penulis blog telah keluar di dalam peperiksaan akhir ini...Aku lihat rakan-rakan aku juga begitu asyik menjawab esei.Maalumlah aku telah war-warkan perkara ini dan masing-masing mencetak contoh soalan ini.Masing-masing dapat menjawab dengan lancar.Kak Syazelina,Kak Rusimah,Kak Rosilah dan Kak Norzi senyum sampai ke telinga.Thanks Liza...Usah berterima kasih pada aku.Terima kasih kepada sipenulis blog berkenaan...
24 October 2009
Cucu terbaru mak.
Mak baby Haris,masih dalam pantang.Tinggi sanggul orang dalam pantang.
Man, tanpa rasa kekok mendukung anaknya menuju ke arah kami yang sudah menunggu di ruang tamu.
23 October 2009
Semoga Abah Cepat Sembuh.
Gambar ini aku ambil semasa menjaga suami di Wad Kenanga Hospital Sultanah Bahiyah.Kepada suamiku yang aku panggil "Abang' dan "Abah" panggilan untuk anak-anak,semoga cepat sembuh.Kami rindukan abang dan abah yang dulu.
17 October 2009
Diari tragedi yang mengejutkan
Aku dan anak-anak sedang leka menonton Nur Kasih.Tanpa disedari aku tertidur di depan TV.Mak kejutkan aku dan anak-anak.Jenuh kejutkan Danial.Nak angkat, tak larat.Berat sangat.Aku anak-beranak sambung tidur di dalam bilik.
4 Oktober 2009.
Aku bangun pagi.Macam biasa aku cari handphone.Alamak...tertinggal dalam handbag pulak.His...apasal banyak sangat miss called ni.Aku cuba telefon suami.lemah suaranya.Terperanjatnya aku bila suami kata dia ada di hospital sekarang sebab kemalangan malam tadi semasa ke tempat kerja.
Aku kaget.Tak tahu nak buat apa.tanpa banyak tanya aku putuskan panggilan.Aku segera beritahu mak.Mak bimbang aku pandu kereta dalam keadaan tidak tenteram.Aku telefon long.Long kata kalau pandu kereta jangan gopoh gapah.
Aku segera telefon Guru Besar.Entah kenapa aku tak dapat tahan air mata dari mengalir.Dalam tangis aku ceritakan masalah aku.Aku minta izin untuk bercuti.GB minta aku bertenang dan uruskan masalah aku dan soal cuti boleh bincang kemudian.
Sampai di Parit Buntar, aku pergi ke rumah Abang Cu.Di situ, kami konvoi 3 buah kereta ke Hospital Sultanah Bahiyah.Man tolong pandu kereta aku.Aku sudah keletihan.
Sampai di hospital, sibuk mencari wad suami pulak.Salah aku juga tidak tanya wad mana satu suamiku.
Nurse yang bertugas memberi kerjasama.Hampir 20 minit mencari akhirnya nurse beritahu suamiku ditempatkan di wad Kenanga 6A.Aku dan long bergegas ke situ.Danial dan Anis tidak dibenarkan masuk.Mak dan Kak Nah tolong mengawasi mereka di bawah.
Dari kejauhan, kelihatan mak mentua,kak ipar dan adik-adik iparku di katil suamiku.Tapi...dimana suamiku???Mak mentuaku menyabarkan aku dan memberitahu suamiku terpaksa menjalani pembedahan segera.Ya Allah...teruk sangatkah suamiku???Menurut kakak ipar, suamiku patah tangan dan kaki.Pembedahan dibuat untuk memasukkan besi.
Waktu melawat sudah tamat.Suamiku masih belum keluar dari dewan bedah.Mentuaku meminta aku pulang dahulu untuk berehat.Dia akan menjaga suamiku di wad untuk malam ini.
Aku dan Man pulang ke Yan.Long dan abang cu pulang ke Parit Buntar.
Malam yang gelap mencabar pemanduan aku sebab aku pun baru beberapa kali ke rumah suami di Yan.Hanya papan tanda menjadi panduan.
Sampai di Yan, aku segera ke Balai Polis Trafik untuk mengambil kunci rumah sebab kunci rumah diikat sekali dengan kunci motor suamiku.
Polis yang bertugas menunjukkan keadaan motor suamiku.Aku lihat juga keadaan motor orang yang melanggar suamiku.Kedua-duanya tidak berapa teruk.Aku berharap juga kecederaan suamiku tidak seteruk mana.
Dalam keletihan, aku, Man,mak dan anak-anak tidur di rumah suami di Yan dengan lenanya.
5 Oktober 2009.
Pagi ini Man membeli sarapan dan makan tengah hari.Maalumlah di rumah ini, dapur untuk memasak tidak ada."Macam main pondok-pondok"kata mak.Aku cuba telefon suamiku.Alhamdulillah suami beritahu aku yang dia selamat menjalani pembedahan.Dia meminta aku bawa toto,pinggan dan sudu untuk persediaan aku menemaninya di wad.
Tengah hari itu, aku ke hospital dengan membawa kelengkapan yang diminta.Mak, Man dan anak-anak ke Parit Tok Ngah.Mak akan menjaga anak-anakku sepanjang aku menjaga suami di wad.Perjalanan yang memakan masa 1 jam ini aku rasakan terlalu lama kerana aku sudah tidak sabar melihat keadaan suami.
Dari jauh aku lihat mak mentua,kakak ipar dan adik-adik iparku sudah menunggu kedatangan aku.Aku lihat suamiku terbaring lemah dengan tangan dan kaki berbalut.Kelihatan juga besi yang tercacak di tangan dan kaki.Aduh...ngilu rasanya.Mentuaku kelihatan tidak bermaya.Mungkin tidak cukup tidur menjaga suamiku.Selepas memberi nasihat pada aku, masing-masing pulang ke kampung.Tinggallah aku menjaga suamiku.
Malam itu, aku tidak lena tidur sebab aku hanya tidur di atas kerusi.Suami akan membuang air di dalam bekas yang disediakan.Tanpa geli,tanpa terpaksa aku uruskan segalanya...
6 Oktober 2009.
Pagi-pagi aku sudah bangun.Selepas mandi dan solat aku akan bawa bekas untuk suamiku memberus gigi.Aku lapkan juga muka dan badan suamiku.selesai semuanya aku tukarkan baju suamiku.Aku suapkan sarapan ke mulutnya.Suami tak makan banyak.Tak selera katanya.Akulah tukang menghabiskan makanan suamiku.Tidak cukup dengan itu, sarapanku beli dari kafeteria dan makan dengan selera.Sambil bergurau suamiku berkata" best jugak no manja-manja dengan ayang macam ni.Ni berkelah ke, jaga abang ni".Kami berbual-bual sambil bergelak ketawa.Maalumlah...sudah lama tidak berjumpa."Kalau tak sakit,boleh gak bermesra-mesra.."kata suamiku lagi.
Saat yang paling menyakitkan bagi suamiku adalah apabila nurse datang menyuntik 4 jenis suntikan.Berkerut dahi suami menahan sakit.
Petang itu kawan suamiku datang melawat.Aku tidak mahu mengganggu mereka.Aku pergi menonton Sumpah Bunian di ruang TV.
Lewat petang,Sariza dan suami juga datang melawat.Suaminya pergi berjumpa suamiku dan aku berbual dengan Sariza di kafeteria.
Malam ini aku bawa toto ke wad suamiku.Aku rasa mengantuk sangat.Selepas solat isyak aku segera merebahkan diri.Aku pesan pada suamiku agar mengejutkan aku jika hendak buang air dan makan ubat.
7 Oktober 2009
Aku bangun jam 6.30 pagi.Lena sungguh aku tidur.suamiku kata aku berdengkur dengan kuat malam tadi.Ye ke???aku rasa aku tidur tidaklah berdengkur.Mungkin penat sangat kot.Suamiku pura-pura merajuk sebab katanya dia kejutkan aku untuk makan ubat aku sikit pun tak terjaga.Menguit pun tidak.Kesian suamiku...isterinya tidur mati sampai tak sedar dunia...
Macam biasa aku beruskan gigi,lap muka dan badan suami.Suami masih boleh bergurau dalam kesakitan.Jika kesan ubat penahan sakit hilang, catatan suhu badan suamiku akan naik.Suamiku makan tengah hari dengan agak berselera hari ini.Maalumlah ada orang tukang suap...
Doktor pakar datang melawat...Dari penerangan doktor, barulah aku tahu yang urat tangan suamiku ada kecederaan sedikit.Terdapat darah beku di situ.Sebab itulah pembedahan terpaksa dijalankan segera untuk mengelakkan urat saraf di tangan mati.Ya Allah, sembuhkanlah tangan dan kaki suamiku dengan segera.Tidak putus-putus aku panjatkan doa...
Menurut doktor, oleh kerana keadaan tangan suamiku sudah baik dan boleh digerakkan jari-jarinya kemungkinan suamiku akan keluar wad pada petang itu.
Mendengar kata-kata doktor, aku segera mengemas barang-barangku.Kesian aku lihat pesakit lain yang sudah lama tinggal di situ.Kepada mereka aku beri kata-kata semangat supaya tabah dan sabar dengan ujian Tuhan.
Selesai segala urusan kira-kira pukul 8 malam.Ridzuan, adik iparku datang menolong menolak
kerusi roda suami ke kereta.Dalam gelap malam aku memandu dengan berhati-hati kerana hujan renyai-renyai.Sampai di Yan, suamiku pergi membuat laporan di balai polis trafik Yan.Aku juga berjumpa dengan ketua suamiku untuk menghantar MC suamiku.Menurut ketuanya, pada malam selepas suamiku kemalangan, rakan-rakan suami telah membuat satu operasi kerana dipercayai suamiku telah dilanggar oleh mat rempit.Malam itu 3 orang mat rempit dapat ditahan.Suamiku juga ada menceritakan kepadaku bahawa semasa di wad, ibu kepada remaja yang merempuh suami telah datang meminta maaf di atas kesilapan anaknya.Remaja berusia 19 tahun itu tidak mempunyai lesen motorsikal dan mempunyai 3 rekod kemalangan.Suamiku tidak bercadang mengambil tindalkan undang-undang kepada remaja berkenaan . Katanya sudah suratan takdir begitu.Masing-masing tidak mahu kejadian seperti ini terjadi.
8 Oktober 2009.
Kami balik ke Parit Tok Ngah.Dalam perjalanan aku sempat membeli ikan haruan untuk suamiku.Sampai ke rumah, anak-anak terkejut melihat keadaan abah mereka yang berbalut tangan dan kaki.Kesian abah...jahat orang yang langgar abah tu.Tak habis-habis Anis mengomel.
Makan masih bersuap, buang air masih dibantu.Suami kelihatan malu-malu semasa aku suapkan makan di mulutnya.Malu dilihat Man dan mak barangkali.Malu kucing...Kerusi roda yang dibeli oleh abang cu memudahkan aku membawa suami ke mana arah tujuannya.
Petang itu, aku bawa suami ke Klinik Kesihatan Kedai 4 untuk cuci luka.Prihatin sungguh nurse dan orang ramai.Masing-masing membantu aku menolak kerusi roda suami.
Malam itu suami mengadu sakit badan.Aku dapati suhu badan suamiku agak tinggi.Mungkin demam sebab luka yang masih sakit dan bisa.Aku telefon abang cu minta dibelikan ubat di farmasi.Suamiku dapat tidur lena selepas menelan ubat yang dibeli.Dalam cahaya lampu malam itu, aku tatap wajah suami dengan penuh kasih sayang dan rasa kasihan kerana dari wajahnya dapat dilihat suamiku menahan sakit.Kasihan suamiku...
9 Oktober 2009
Pagi itu, aku bawa suamiku ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang untuk mencuci luka.Suamiku enggan ke klinik semalam kerana kata suamiku nurse yang bertugas dengan Pembantu Perubatan di situ mencuci luka suami sambil berbual-bual sesama sendiri.Tanpa memakai sarung tangan.Tanpa prosedur perubatan sebenar.
Petang itu abang cu datang untuk menghantar suamiku ke Bagan Serai.Suamiku ingin dihantar ke rumah ibu bapanya kerana esok aku akan balik ke Lukut.Suami lebih selesa jika dia tinggal di rumah ibu bapanya kerana ibunya ada di rumah sentiasa.Jika suamiku ikut aku ke Lukut, semasa aku ke sekolah sudah pastilah suami akan mengalami kesukaran menguruskan dirinya. Sedih rasa hatiku kerana terpaksa meninggalkan suami di kampung.Aku berpesan agar suami menjaga makan minum dan makan ikan haruan dan susu agar cepat sembuh.
Aku akan pulang ke kampung pada cuti akhir tahun nanti.Akan aku jaga suamiku dengan sebaik-baiknya.
Diharap pertukaranku ke Kedah diluluskan.Suami masih perlukan rawatan susulan dan rawatan tradisional .Aku akan bawa suami berubat sehingga sembuh.Inilah janjiku...ABANG...SEMOGA ABANG CEPAT SEMBUH.BERGERAK DAN BERJALAN SEPERTI BIASA...
04 October 2009
Suamiku Kemalangan
Sekarang aku berada di Kedah.Suamiku ditimpa kemalangan semasa ke tempat kerja pada malam Sabtu, 3 Oktober.Sehingga cerita ini ditulis,aku masih tidak berpeluang berjumpa suami kerana aku bertolak dari PD pada pukul 9 pagi dan sampai di Hospital Sultanah Bahiyah pada pukul 6 petang, suamiku telah dibawa ke dewan bedah untuk memasukkan besi ke dalam kaki.Malam tadi ibu mentuaku menjaga suamiku di wad.Aku berjanji akan bertukar giliran dengan ibu mentua pada malam ini.
Di saat-saat seperti ini, aku sangat menghargai jasa baik ahli keluargaku,ahli keluarga suami dan rakan sekerja kerana memahami diriku.Anak-anak dijaga oleh ibuku di Parit Buntar.Guru Besar juga sudah memberi keizinan untuk aku menyelesaikan dahulu urusanku dan kembali ke sekolah apabila semuanya stabil.
Ya Allah...selamatkanlah suamiku.Permudahkanlah urusanku.Permudahkanlah segala-galanya.Berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini menghadapi ujianMu.
15 September 2009
Doakan aku.
Tiba-tiba hari ni, kecoh kat 'meja gebang-gebang' dalam bilik guru tu beritahu aku yang hari Jumaat ni memang SK Lukut ambil cuti peristiwa.Pulak...Aku pun apa lagi...isi semula borang cuti untuk memohon cuti pada hari Khamis pula...
Mengikut perancangan, aku akan bertolak pulang ke kampung dengan mak dan anak-anak pada pagi Khamis.Mak kata selepas subuh kita bertolak ke kampung...
Kuih raya kali ini aku peruntukkan untuk 3 buah rumah.Rumah aku, rumah mak di kampung dan rumah hubby di Kedah...Semasa aku kemaskan barang-barang, balang kuih raya sahaja dah penuh kereta aku.Termasuklah kuih raya untuk mak mentua dan tikar buluh mak yang baru dibeli di Nilai 3...Pandai-pandai la aku susun barang dalam kereta nanti.Inilah kelemahan kereta yang tak ada boot kereta.Tempat letak barang sekali dengan tempat penumpang...
Hubby kata kereta baru aje dia servis.Tapi, aku agak hairan jugak dengan tayar hadapan kereta aku ni.Baru aje aku masukkan angin, dah kempis semula...Enggan berperang dengan risiko, aku bawak kereta aku ke pusat tayar Lukut.Ini pertama kali aku pergi situ.selalu hal berkaitan kereta,hubby yang uruskan.Nak buat macam mana...di sini 100% urusan aku tanggung sendiri.Mujurlah ada juga insan-insan yang simpati sudi menghulurkan bantuan kala dipinta.
Periksa punya periksa, rupa-rupanya tiub tayar tu bocor.Mekanik tu kata sebab tu la angin tayar keluar sedikit demi sedikit...Aku minta dia ceck semua tayar.Akhirnya, 2 tayar hadapan ditukar tiubnya...Mujur la tak ada kebocoran tayar...Rupa-rupanya murah aje nak tukar tiub kereta tu...RM8 aje...Aku spare duit sampai RM400.Mana la tahu kena tukar tayar ke...
Raya tahun ini memang mencipta sejarah...Sebabnya, aku akan memandu sendiri.Siap minta plan kat member sekolah.Selalu hubby drive aku tak pernah ambil tahu jalan yang dilalui...Sekarang,hanya papan tanda arah ke utara yang menjadi panduan...
Raya tahun ini juga mak menimang cucu yang ke-11.Azman, adikku yang berkahwin pada disember lepas selamat menjadi bapa pada 14 September( semalam).Baby yang masih belum diberi nama ni sepatutnya dilahirkan lagi 3 minggu...Tapi, baby ni nak juga bapa dia bayar zakat fitrah kat dia...Maka dia pun melihat dunia awal dari tarikh jangkaan...Mak kata tak sabar nak tengok muka anak Man...
Harapan aku, semoga perjalanan aku pulang ke kampung selamat dan sejahtera...Doakan aku selamat pulang ke kampung.
02 September 2009
Percubaan Kali Ke-3
Nyaris di saman lagi...
21 August 2009
Puasa tanpa suami di sisi.
Makanan wajib suamiku semasa berbuka...
Kuih apam beras.Kuih yang akan dicari oleh suami di pasar Ramadhan..
Tahun ini, aku ke pasar Ramadhan tanpa ditemani suami...Sedih...isk...isk...Tak apa...tahun ni aku akan ke pasar Ramadhan dengan mak...
17 August 2009
Berakhirnya telenovela "Ana ,Enta"
Buat Akhil dan Waheeda, semoga perkahwinan ini berkekalan hendaknya.Tapi, ingatlah...Berbahagiakah anda jika istana ini dibina di atas air mata penderitaan orang lain ??
13 August 2009
Esok aku exam...
12 August 2009
Majlis Perkahwinan Adik Iparku.
Bertambahlah lagi biras aku...Hem...aku adalah menantu perempuan yang pertama dalam keluarga suami...Moga kasih mentuaku tidak berbelah bahagi dengan kehadiran menantu baru ye...
Segak dan tampan tentera yang bawak pedang tu... Anis suka sungguh usik abang tentera tu...
Pengantin di bawa di bawah pedang...tapi, masa nak ambil gambar masa pengantin bawah pedang, punya la ramai orang berebut-rebut nak ambil gambar.Hasilnya, gambar yang aku ambil, tak elok langsung.Ada tangan orang la, masuk ketiak orang...aku pun malas la nak berebut-rebut jugak...Hubby pegang hantaran...tak dapek nak nolong...
Majlis Pernikahan Adik Ipar di Kampung Jawa, Bukit Pelanduk.
07 August 2009
Lega rasanya...
Akibatnya, aku sendiri yang tercungap-cungap menyiapkan tugasan.Masa ni la nak tengok aku kalut giler...buat tak tahu aje kat anak-anak.Kalau ada hubby, semua kerja dia kena bereskan..Nak tengok aku senyum? memang jarang.Hubby selalu kata ' muncung time...'.Mujur la dia faham..
Tapi, keadaan macam ni selalunya tak lama.Paling lama pun sebulan..Hasilnya, selepas semua tugasan selesai.Huh...leganya hanya Tuhan yang tahu.Satu kepuasan yang tak dapat digambarkan.Kepada suami,anak-anak dan mak, terima kasih banyak-banyak kerana memahami diriku ini...InsyaAllah keadaan ini tidak akan berpanjangan.Tahun depan aku akan habiskan pengajianku.Tak sabar nak konvo...
01 August 2009
Mengapa aku dah lama tak menulis...
Sebab...exam dah dekat...Baca buku satu hapah pun tarak lagi...
Sebab baru dua asigment siap...Lagi 3 belum siap...Date line makin dekat...Aduh...aku rasa macam duduk atas bara api sekarang ni...
Sebab rindu pada lelaki handsome di atas....Sabar...sabar...Jumaat ni abah balik Lukut...Sabar...sabar...ke Zoo Negara
Danial dan Anis tambah seronok bila member kamceng depa kat kuaters ni, Husna, Adam dan Nisah pun pergi jugak...
Salah satu aksi yang membuatkan anak-anakku ketawa sambil mengeliat kegelian..." Mama, monyet tu jilat bontot kawan dia...eee..."
Anis sempat lagi bergaya semasa di dalam bas.Anis kata ' Lepas ni kita balik kampung naik bas ye mama.Seronok la naik bas."Hem...aku rasa lepas ni akan aku beri cadangan pada hubby untuk cuba bawak anak-anak balik kampung naik bas atau kereta api pulak.. beri pengalaman kepada anak-anak...Biar mereka rasai sendiri macam mana abah dan mama depa ni dulu masa bujang berebut-rebut naik bas untuk pulang ke kampung.Sekali sekala berubah angin...
Danial tengah kusyuk tengok show anjing laut dengan burung nuri.Anis pulak asik membelek selipar baru.
12 July 2009
Wadai Kipeng kuih Banjar
Dulu, semasa zaman muda-muda, aku begitu teruja dengan sambutan hari jadi.Zaman maktab dan zaman mula-mula bekerja pasti ada serba sedikit jamuan untuk rakan dan taulan.Kini, seiring dengan peningkatan usia, aku dah tak kisah dengan hari lahir ni.Rasa macam dah tak ada benda.Entah...mungkin banyak tanggung jawab dan agenda yang memenuhi memori otakku.
SMS dan panggilan telefon dari suami amat aku nantikan.Tak sangka pula, suamiku yang tak romantik tu bila duduk jauh macam ni bila menulis bait-bait ucapan, bisa meruntun jiwaku...Betullah kata orang, bila jauh bau bunga, dekat bau ....
Pagi tadi, emak yang tinggal dengan aku membuat wadai kipeng iaitu sejenis kuih tradisional orang Banjar.Mak kata sesuai sangat buat kuih ni sempena ulang tahun kelahiranku...Tak susah buat kuih ni..Cuma nak gentel tepung pulut jadi bulat-bulat dan ditekan di tengahnya makan masa juga.Danial dan Anis pun tolong juga gentel adunan tepung tu.Aku pastikan depa basuh tangan bersih-bersih.Danial kata kuih ni macam duit syiling aje...Emak kata memang kuih ini selalunya dibuat untuk majlis doa selamat atau untuk meraikan sesuatu.Wadai kipeng yang berbentuk seperti duit syiling dan timbul ketika masak memberi 1000 makna yang tersirat.Semoga rezeki dimurahkan dan dipermudahkan...Selepas masak, Danial dan Anis berebut-rebut nak makan.Ini pertama kali depa makan kuih ni.Rasanya yang manis begitu enak tambahan pula ditambah durian bagi menambah perisa...Kak Cik yang kebetulan datang ke rumah aku pun makan wadai kipeng dengan penuh selera...Siap tapau lagi...Rugi pulak rasanya aku tak belajar membuat wadai kipeng ni dari emak.Walaupun nampak senang tapi kena ada ilmu juga untuk membuatnya barulah jadi dan ada umpp..Selain dari wadai kipeng, kuih tradisional Banjar yang sangat enak ialah kalakatar dan balungan ayam.Setiap kali bulan puasa sudah pasti kuih kalakatar ini akan dibuat oleh emak sebagai memenuhi permintaan anak-anaknya.Aku rasa kuih kalakatar emak tidak dapat ditandingi oleh orang lain walaupun sekarang ini kuih itu sudah dikormesialkan.
Pastinya, ulang tahun kelahiranku yang ke32 ini memberi ertinya yang tersendiri...Wadai kipeng, kuih Banjar yang mempunyai seni dan makna yang tersirat...
11 July 2009
Kenduri di Kampung Melayu Kundang.
09 July 2009
PPSMI dimansuhkan.
Aku sebagai guru selama ini sebenarnya tidak senang duduk kerana selalu sahaja dipantau oleh pegawai-pegawai pelajaran yang inginkan dasar PPSMI ini berjaya.Aku yang agak lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris sudah tentulah menghadapi sedikit masalah untuk mengajar mata pelajaran itu di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya.Walaupun kursus demi kursus diberi, ujian demi ujian diduduki, agak mustahil untuk aku hendak bertutur Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam kelas.Tambahan pula, keadaan persekitaran anak muridku yang bukanlah 100% datang dari bandar membuatkan kekadang aku terpaksa bertutur juga dalam Bahasa Melayu.Kekadang aku rasa 'berdosa' kerana elaun BISP aku perolehi tapi mengajar tidak sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.Aku boleh menarik nafas lega selepas ini kerana apabila pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu, elaun itu aku tidak perolehi lagi dan hasilnya, 100% pendapatanku 'bersih' dan aku tidak lagi menanggung perasaan bersalah itu.Aku lebih rela tidak dapat elaun sebanyak RM200+ daripada menanggung perasaan bersalah itu.
Sepanjang aku terlibat dengan PPSMI ini juga, aku dapati kaum melayu terus dihambat kemerosotan dan kaum lain seperti India dan Cina semakin menunjukkan peningkatan di dalam mata pelajaran Matematik dan sains.Apa tidaknya, rata-rata murid Melayu menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa berkomunikasi dan terpaksa berusaha dua kali ganda untuk memahami istilah-istilah khusus Matematik dan sains di dalam Bahasa Inggeris.Bagi kaum lain terutamanya India rata-ratanya menggunakan Bahasa Inggeris di dalam pertuturan harian sudah tentulah mereka dapat memahami Matematik dan Sains dengan lebih mudah.Aku boleh tunjukkan markah Matematik yang menunjukkan markah tertinggi dibolot oleh 'kaum-kaum mereka'.Murid Melayu?...beberapa kerat sahaja yang cemerlang..Itupun orang ke tiga atau ke empat selepas 'kaum-kaum itu'.
Aku berharap agar tahun 2012 nanti, memberi harapan baru kepada anak bangsa kita untuk dapat menguasai Matematik dan sains dengan lebih baik kerana sudah diajar di dalam Bahasa Melayu kembali.Ibu bapa juga tidak ada lagi alasan 'saya nak ajar anak kat rumah, saya pun tak faham sangat sebab buku-buku anak saya dalam bahasa Inggeris'.
p/s: Danial mula sekolah tahun satu pada tahun 2011.Aku masih kurang jelas...adakah semasa tahun satu ajar Maths dan sains dalam BI dan semasa tahun 2 dalam BM?...
08 July 2009
Suamiku ke Manek Urai
26 June 2009
Gigi Danial Sakit
25 June 2009
Danial, Anis dan Omey...
23 June 2009
Kenduri-kendara di kampung.
Selamat Pengantin Baru kepada sepupuku, Shahbuddin bin Jamhari dan pasangannya, cikgu Syikin yang berasal dari Batu Pahat, Johor.Nampaknya perkahwinan ini menyatukan dua rumpun Melayu Banjar dan Jawa.Bertambahlah lagi kulaan aku...
Saudara-mara yang hadir semasa kenduri Mak Teh.Kelihatan Mak Teh (tudung maroon) tersenyum gembira kerana mendapat menantu 'cikgu'.Dah lama mengidam dapat menantu cikgu.Akhirnya tercapai juga hasrat.(Ehmm...kenapa orang tua-tua suka cari menantu cikgu ye?...)