Cemburu aku lihat orang lain punya rumah sendiri.Boleh hias rumah dengan citarasa tersendiri.Bercucuk tanam keliling rumah.Lain semangatnya tinggal di rumah sendiri dan rumah sewa.Aku sudah membeli rumah di Semanggol kira-kira 5 tahun yang lalu.Tapi sayang, rumah itu tidak pernah aku diami langsung hatta semalaman sekalipun.Lepas beli terus diberi sewa.Hendak buat macam mana.Kerja di tempat lain, rumah di tempat lain.
Semalam, aku pujuk suami agar terus menetap di sini.Beli rumah di sini.Kemudahan semuanya ada.Jauh dari hiruk pikuk di kota.Tenang dan damai dengan kehijauan sawah yang terbentang.Sampai bila mahu menyewa.Umur makin meningkat.Harga rumah makin lama makin naik.Anak dah 2 orang...Lagi pula Yan-Parit Buntar tidaklah jauh sangat.Kira-kira 2 jam sahaja.Kos hidup di sini juga tidaklah tinggi seperti mana tempat lain.Masyarakatnya masih lagi menjunjung tata susila orang Melayu yang ramah tamah.
Kerja suami di sini juga agak menyenangkan.Hanya bertugas di bahagian Gerakan.Tanpa melakukan operasi seperti di Lukut dahulu.Di Lukut, hatiku sentiasa risau.Mana taknya suami melakukan operasi, sekatan jalan raya,ronda dan menerima laporan.Pernah satu ketika semasa operasi, suami mengintip suspek,tersilap pijak dan tercucuk paku.Menahan sakit takut suspek lari.Di Yan, suami tidak perlu lagi melakukan itu semua.Sekolahku juga dekat dengan balai.Boleh date untuk lunch sekali...Lagi pula suasana kerja di SK Langkasuka juga tidak terlalu menekan.
Suamiku punya cita-cita mahu membeli tanah dan membina rumah di atas tanah yang dibeli.Tapi, yang aku kurang setuju kerana tanah emaknya yang suamiku bercadang hendak beli dan bina rumah berada di dalam 'tebuk'.Sejak kecil aku tinggal di'tebuk'.Aku tak mahu lagi sampai tua tinggal di 'tebuk'( jalan kecil yang dibina di tepi tali air ).Bukan aku menghina 'tebuk'.Tapi, jauh ke dalam dan susah hendak ke jalan besar...
Akhirnya, suamiku akur untuk pergi meninjau projek perumahan di sekitar tempat tinggal kami.Mula-mula kami pergi ke Halaman Damai, Guar Chempedak.Guar Chempedak ke tempat kerja lebih kurang 10 km.Rumah semi D.Ada 4 buah lagi yang belum dibeli.Cantik...memang aku tertarik hati.Suami bertanya harga rumah di situ pada penghuni lot fasa 1.Orang tu kata dia beli dengan harga RM130,000.Tapi dia kata rumah yang ada 4 buah tu dijual dengan harga RM170,000 sebab fasa ke2.Aku cuba telefon nombor telefon yang tertera pada papan tanda.Disambut oleh kerani perumahan.Dia kata harga rumah tu RM168,800.Aku kata kenapa beza jauh sampai RM40,000 dengan rumah fasa 1.Kerani tu kata rumah fasa 2 dibina semasa harga barang naik harga dan kemasan dalamannya lain dari rumah fasa 1.
Kami ke Taman Awana,Sungai Yan.Kelihatan proses pembinaan rumah sedang rancak dilakukan.Aku ambil nombor telefon pemaju perumahan.Pagi tadi aku telefon nombor yang diberi.Dijawab oleh pemaju.Malangnya rumah semi d sudah habis dijual.Rumah teres tinggal hanya 3 buah sahaja lagi.Aku tempah dahulu salah satu rumah dan bercadang petang Selasa akan ke situ lagi kerana pemaju kata petang selasa dia akan berada di tapak projek.Harga bagi rumah teres setingkat berkeluasan 20 X 45 kaki berharga RM118,00.
Aku dan suami masih berbincang.Masih berfikir .Kelihatan suamiku macam tidak begitu berminat.Aku berharap terbukalah pintu hatinya untuk membeli aset di sini.Dalam masa yang sama aku terfikir berbaloikah kami membeli aset rumah di Yan, rumah teres setingkat luas 20X45 pada harga RM118,000??