22 January 2010

Abah dah boleh jalan.

Besi di kaki abah sudah selamat dicabut oleh doktor...Ada sedikit darah mengalir.Abah kata sakit jugak semasa proses mencabut besi tu.Kelihatan kaki abah agak bengkak.Doktor bagi mc hingga hari Selasa.Nampaknya abah sudah mula bertugas pada hari Rabu...Sesudah bercuti panjang,(kira-kira 3 bulan lebih) abah terpaksa membiasakan diri bertugas mengikut shif.Malasnya...kata abah.Apa taknya, semasa cuti panjang tu, abah makan,tidur,hantar Anis ke sekolah,melayari internet,menemankan anak buat homework dan sekali sekala menyidai pakaian di ampaian.Cukup waktu, makanan terhidang...Sudah terbiasa rehat panjang di rumah... Rabu ni rutin harian abah akan berubah.

Walaupun besi sudah dicabut, abah masih tidak boleh berjalan sendiri.Tapak kaki masih belum boleh mencecah tanah dengan mantap.Masih perlukan tongkat secara minimum.Perubahan yang amat ketara,abah sudah boleh berjalan dengan lebih laju tanpa melompat-lompat lagi.Tangan abah juga sudah boleh menggenggam dengan lebih kuat.

Anak-anak sangat gembira dengan perubahan abah."Boleh pergi mandi air terjun", kata Anis."Boleh kita pergi Langkawi lagi," kata Danial yang masih tidak puas ke Langkawi.

Pesan mama dan anak-anak, jangan buat kerja lasak sangat.Kaki abah tu belum kuat lagi.SELAMAT BERTUGAS ABAH.SEMOGA CEPAT SEMBUH DAN KEMBALI SEPERTI ABAH YANG DAHULU.

17 January 2010

Meninjau Rumah di Kedah.

Cemburu aku lihat orang lain punya rumah sendiri.Boleh hias rumah dengan citarasa tersendiri.Bercucuk tanam keliling rumah.Lain semangatnya tinggal di rumah sendiri dan rumah sewa.Aku sudah membeli rumah di Semanggol kira-kira 5 tahun yang lalu.Tapi sayang, rumah itu tidak pernah aku diami langsung hatta semalaman sekalipun.Lepas beli terus diberi sewa.Hendak buat macam mana.Kerja di tempat lain, rumah di tempat lain.

Semalam, aku pujuk suami agar terus menetap di sini.Beli rumah di sini.Kemudahan semuanya ada.Jauh dari hiruk pikuk di kota.Tenang dan damai dengan kehijauan sawah yang terbentang.Sampai bila mahu menyewa.Umur makin meningkat.Harga rumah makin lama makin naik.Anak dah 2 orang...Lagi pula Yan-Parit Buntar tidaklah jauh sangat.Kira-kira 2 jam sahaja.Kos hidup di sini juga tidaklah tinggi seperti mana tempat lain.Masyarakatnya masih lagi menjunjung tata susila orang Melayu yang ramah tamah.

Kerja suami di sini juga agak menyenangkan.Hanya bertugas di bahagian Gerakan.Tanpa melakukan operasi seperti di Lukut dahulu.Di Lukut, hatiku sentiasa risau.Mana taknya suami melakukan operasi, sekatan jalan raya,ronda dan menerima laporan.Pernah satu ketika semasa operasi, suami mengintip suspek,tersilap pijak dan tercucuk paku.Menahan sakit takut suspek lari.Di Yan, suami tidak perlu lagi melakukan itu semua.Sekolahku juga dekat dengan balai.Boleh date untuk lunch sekali...Lagi pula suasana kerja di SK Langkasuka juga tidak terlalu menekan.

Suamiku punya cita-cita mahu membeli tanah dan membina rumah di atas tanah yang dibeli.Tapi, yang aku kurang setuju kerana tanah emaknya yang suamiku bercadang hendak beli dan bina rumah berada di dalam 'tebuk'.Sejak kecil aku tinggal di'tebuk'.Aku tak mahu lagi sampai tua tinggal di 'tebuk'( jalan kecil yang dibina di tepi tali air ).Bukan aku menghina 'tebuk'.Tapi, jauh ke dalam dan susah hendak ke jalan besar...

Akhirnya, suamiku akur untuk pergi meninjau projek perumahan di sekitar tempat tinggal kami.Mula-mula kami pergi ke Halaman Damai, Guar Chempedak.Guar Chempedak ke tempat kerja lebih kurang 10 km.Rumah semi D.Ada 4 buah lagi yang belum dibeli.Cantik...memang aku tertarik hati.Suami bertanya harga rumah di situ pada penghuni lot fasa 1.Orang tu kata dia beli dengan harga RM130,000.Tapi dia kata rumah yang ada 4 buah tu dijual dengan harga RM170,000 sebab fasa ke2.Aku cuba telefon nombor telefon yang tertera pada papan tanda.Disambut oleh kerani perumahan.Dia kata harga rumah tu RM168,800.Aku kata kenapa beza jauh sampai RM40,000 dengan rumah fasa 1.Kerani tu kata rumah fasa 2 dibina semasa harga barang naik harga dan kemasan dalamannya lain dari rumah fasa 1.

Kami ke Taman Awana,Sungai Yan.Kelihatan proses pembinaan rumah sedang rancak dilakukan.Aku ambil nombor telefon pemaju perumahan.Pagi tadi aku telefon nombor yang diberi.Dijawab oleh pemaju.Malangnya rumah semi d sudah habis dijual.Rumah teres tinggal hanya 3 buah sahaja lagi.Aku tempah dahulu salah satu rumah dan bercadang petang Selasa akan ke situ lagi kerana pemaju kata petang selasa dia akan berada di tapak projek.Harga bagi rumah teres setingkat berkeluasan 20 X 45 kaki berharga RM118,00.

Aku dan suami masih berbincang.Masih berfikir .Kelihatan suamiku macam tidak begitu berminat.Aku berharap terbukalah pintu hatinya untuk membeli aset di sini.Dalam masa yang sama aku terfikir berbaloikah kami membeli aset rumah di Yan, rumah teres setingkat luas 20X45 pada harga RM118,000??

15 January 2010

Blog Cikgu Azman Dalam Minit Mesyuarat.

Bulan pertama persekolahan, selalunya cikgu-cikgu sibuk dari biasa.Mana nak uruskan kelas baru lagi, karenah murid baru lagi, menulis resit,mengisi maklumat murid, mesyuarat dan sebagainya.Satu lagi yang selalunya dicari-cari oleh cikgu ialah rancangan mengajar tahunan,sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran.walaupun selalunya setiap tahun subjek yang diajar adalah sama, tapi entah kenapa bila tiba tahun yang baru, sukatan entah ke mana, rancangan tahunan entah ke mana.
Aku selalunya mencari rancangan tahunan di dalam intenet.Rupa-rupanya blog adikku ,Blog Cikgu Azman sudah menyediakan rancangan mengajar tahunan bagi semua subjek sekolah rendah.Aku hanya cetak sahaja.Mudah sekali.Thank you my brother...
Semasa aku sedang asyik menulis rancangan mengajar harian, cikgu Sanuri menegurku.Dengan loghat Kedahnya dia menanyakan mana aku dapat rancangan mengajar tahunan yang berada di tanganku.Aku pun cerita yang aku cetak dari internet."Saya dok caghi jugak.tapi tak jumpak pun yang lengkap,"katanya.Aku pun meminta cikgu Sanuri cari di dalam blog Cikgu Azman.
Hari Khamis yang lalu, panitia Matematik mengadakan mesyuarat Panitia yang pertama.Dalam agenda rancangan mengajar tahunan, ada cikgu yang bertanya mana nak cari rancangan mengajar tahunan supaya fail panitia lengkap.Cikgu sanuri mencadangkan agar cikgu yang belum ada lagi rancangan mengajar tahunan agar mencetaknya dari internet menerusi blog Cikgu Azman.Masing-masing menulis nama blog adikku di dalam buku catatan masing-masing.Aku senyum aje.Mereka tidak tahu yang blog ini dikendalikan oleh adikku.Kembang jugak aku sebab cikgu Sanuri memuji blog adikku ini sebab rancangan tahunannya lengkap dan ada maklumat hal-hal pelajaran yang lain.Berguna untuk panduan guru-guru.Hai...berguna juga blog adik aku.Memberi manfaat kepada orang lain.Mudah-mudahan pahala berpanjangan.Aku pun dapat juga pahala sebab menghebahkannya pada orang lain.Kepada Man, lepas ni kalau ada apa-apa lagi maklumat perguruan, masukkan dalam Blog Cikgu Azman no...

Kisah persekolahan anak-anakku.

Sudah 2 minggu sesi persekolahan bermula.Sudah 2 minggu juga anak-anakku mula bersekolah di Negeri Jelapang Padi ini.Aku akan tersenyum sendirian bila teringatkan kisah mereka di hari pertama persekolahan.

Danial bersekolah di pra sekolah di sekolah aku bertugas.Anis pula bersekolah di Tadika Matahari Indah.Pada mulanya aku dan suamiku ingin menghantar kedua-duanya ke Tadika Matahari Indah.Namun, kata Danial."Ane nak pergi sekolah mama".Puas dipujuk, namun Danial tetap berkeras hendak ke sekolahku.Aku dan suamiku terpaksa mengikut kerana jika dipaksa nanti timbul pula masalah lain pula.Anis, anak yang mudah membawa diri tetap teruja ke tadika baru walaupun sedar dia bersendirian di situ.Maalumlah, di Port Dickson Anis dan Danial tidak pernah berenggang.

Yuran pendaftaran dan uniform sebanyak 3 pasang bagi pra sekolah Danial berjumlah kira-kira Rm100.Yuran pendaftaran Anis pula sebanyak RM200++.Masing-masing aku belikan 3 pasang uniform.Bezanya Danial berkasut sekolah dan Anis boleh berselipar biasa.3 hari sebelum persekolahan bermula, Danial mula buat hal.Dia tidak mahu ke sekolah...Puas aku pujuk.Akhirnya aku belikan basikal baru seorang sebuah.Suamiku kurang bersetuju dengan pendekatan yang aku gunakan.Bagi aku, jika cara ini mampu memberi motivasi kepada mereka untuk rajin ke sekolah, apa salahnya.Lagipun dulu aku pernah berjanji akan membelikan mereka basikal baru setelah pindah ke Kedah.Akhirnya Danial mahu juga ke sekolah walaupun aku lihat macam terpaksa.

Malam sebelum sekolah bermula, Danial dan Anis sibuk menyusun alat tulis di dalam beg.Beg sudah di susun di tepi pintu.Kasut sekolah sudah dicuba banyak kali.Masing-masing tidur awal takut esok pagi lambat bangun.Danial bangun kira-kira jam 6.30 pagi.Siap mandi dan memakai baju.Anis yang tadikanya bermula jam 9 pagi pun bangun awal.Tidak boleh tidur katanya.Terlalu ghairah hendak ke sekolah baru...

Sampai di sekolah, aku ingin duduk di tempat guru di hadapan tempat perhimpunan.Danial mula buat hal.Dia tidak mahu ke kelasnya.Aku terpaksa menemankannya di tepi tapak perhimpunan.Perlahan-lahan aku pujuk Danial untuk beratur di barisan pra sekolah.Mujurlah dia mahu walaupun muka masam mencuka.

Aku sibuk dengan urusan bayaran yuran murid-muridku.Aku menjadi guru kelas kepada tahun satu.Kesibukan menguruskan murid-muridku membuatkan aku tidak sempat meninjau Danial di kelas pra.Waktu rehat aku jenguk Danial di kelasnya.Kelihatan dia duduk di kerusi dan rakan-rakan yang lain sedang makan mi sup.Danial tidak mahu makan sebab dia nak makan nasi lemak! Aku bawa danial makan nasi lemak sebungkus.Sudah kenyang, dengan girang dia berlari ke kelasnya.

Hari pertama aku hanya sempat berehat selepas pukul 11.30 pagi.Aku ke bilik guru menyiapkan resit yuran.Terlalu asyik hingga terlupa menjemput Danial di kelasnya yang berakhir pada 11.45 pagi.Aku hanya teringat bila aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 12.15...Bergegas aku ke kelasnya.Lengang sahaja kelasnya.Aku ke halaman sekolah.Aku bertanya pada orang di situ.Seorang guru memberitahu yang Danial sedang mencari aku.Aku naik semula ke bilik guru.Kelihatan mak tam, pekerja sekolah itu sedang memimpin Danial yang sedang menangis...rasa nak ketawa pun ada.tapi aku kulum ketawa sebab kalau aku ketawa, makin kuat tangisnya...Puas juga aku pujuk.Sudah reda dari menangis aku ceritakan esok Danial kena makan di kelas Danial sebab cikgu dah sediakan makanan.Kalau mama tak ada, cari mama di bilik guru atau tunggu mama di depan balai sekolah ni.Danial hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

Balik dari sekolah, Anis dan danial masing-masing berlumba mahu bercerita pengalaman di sekolah baru.Anis diuruskan oleh suamiku.Hingga timbul slogan"Danial anak mama, Anis anak abah".Menurut abah, Anis pada mulanya tidak mahu duduk di atas kerusi melainkan abah ada sekali di dalam kelas.Akibatnya abah pun belajar sekali di dalam kelas.Tapi, Anis tidak menangis seperti 3-4 orang murid lain.Dengan kebijaksanaan gurunya menarik perhatian, Anis kelihatan aktif menjawab soalan guru.Abah pula menarik perhatian ibu bapa yang lain kerana masih bertongkat...

Kini, selepas dua minggu persekolahan, anak-anakku semakin matang.Danial sudah mahu bergaul dengan kawan yang lain.Yang kelakarnya pada hari kedua persekolahan, dia mengadu padaku yang dia tidak mahu duduk di sebelah perempuan.Aku meminta Cikgu Norhana, guru Danial supaya menukar tempat duduk Danial .Cikgu Norhana ketawa sebab baru dia tahu kenapa Danial tidak mahu duduk di tempatnya.Danial lebih rela menulis di atas tikar di lantai.Rupa-rupanya Danial tidak mahu duduk sebelah budak perempuan...bagi Danial tidak elok duduk di sebelah perempuan yang tidak muhrim...(aku buat kesimpulan sendiri...)Selepas bertukar tempat barulah danial mahu duduk di atas kerusi sehingga kelas tamat...Macam-macam hal nak terunaku itu.Mujurlah mama satu sekolah dengan dia.Boleh berbisik-bisik dengan cikgu kelasnya...kalau tidak...mahu malas cikgu nak layan feelnya seorang.

Jika hari pertama tidak mahu makan, kini dialah yang paling berselera menjamu selera.Dia sudah tidak kisah aku ada mesyuarat atau ada kelas semasa waktu dia habis kelas.Pandai dia mencari aku di kelas atau di bilik guru.Selalunya dia akan duduk di kerusi di belakang kelas semasa aku mengajar.Persis si pensyarah sedang mencerap guru pelatih mengajar...

Ada satu perkara yang menarik perhatian aku dan suamiku.Danial dan Anis tidak lagi membuang masa di waktu petang dan malam dengan menonton Tv atau bermain.Masing-masing berlumba menyiapkan kerja sekolah mereka.Masing-masing berlumba hendak mengumpul 'bintang' di setiap latihan yang diberi.Memang nampak perubahan yang ketara semasa mereka di PD dengan di sini.Di PD, langsung tidak ada kerja rumah untuk mereka.Di sini, setiap hari sentiasa ada sekurang-kurangnya satu latihan untuk mereka.Guru sekolah masing-masing juga menandakan kerja rumah dengan cop'homework' pada muka surat yang perlu dibuat.Ini memudahkan aku dan suami memantau tugas mereka.Tidak mahu tidur mereka selagi kerja rumah tidak selesai.Bukan takut pada guru mereka sebab memang aku kenal guru mereka.lemah-lembut dan baik...tapi semangat mereka untuk siapkan kerja dan mengumpul 'bintang' membuatkan mereka tekun menyiapkannya.

Satu rahmat juga aku tamatkan perkhidmatan siaran Astro.Di PD, asyik sekali menonton Hagemaru hingga terabai pelajaran.Di sini, tidak ada lagi Astro.selepas jam 9 malam, tiada lagi siaran TV kecuali malam cuti sekolah.Itu disiplin suamiku di sini.Nampaknya, suamiku berjaya mendisiplinkan mereka.Aku dan suami juga berada di meja ketika mereka menyiapkan kerja rumah.Sama-sama memberi sokongan dengan peraturan "tiada siaran TV selepas jam 9".Selepas perkhidmatan Astro ditamatkan juga barulah aku dan suamiku berpeluang menonton berbagai-bagai siaran di TV.Barulah kami tahu selama ini banyak drama yang menarik.Cinta Balqis,Tasbih Cinta, Jangan Tegur Lagi,Ceplos antara drama yang tidak pernah kami 'miss'."Baru berkembang minda" kata suamiku.Mana taknya, dulu asyik-asyik Astro Ceria.Anak-anak memang ceria.Mama dan Abah yang tak ceria...terpaksa menonton rancangan kanak-kanak...Tanpa Astro, duit dapat dijimatkan,anak-anak tidak lagi leka, ibu bapa lebih terbuka minda,hubungan keluarga lebih terpelihara, tiada lagi berebut TV.Marilah tamatkan siaran astro anda.(marah orang astro...)

Anis pula setiap hari ada sahaja lagu yang akan dinyanyikannya.semua lagu Inggeris kerana tadika Anis aliran Inggeris.Terlalu berhati-hati ketika menulis.Langsung tidak mahu salah.Jika aku membawa anak-anak ke pasar atau kedai, pasti ada sahaja budak yang disapanya."kawan sekolah adik", katanya.Yang lawaknya, "nama dia adik tak tahu sebab dia kelas lain."Semalam, Anis terpaksa ponteng sekolah walaupun sudah siap berpakaian gara-gara suamiku tidak jumpa kunci kereta.Sampai petang dia mengomel sebab rasa rugi tidak ke sekolah.Hai...mudah-mudahan rajin ke sekolah sampai bila-bila ya anak-anak mama.Jangan macam mama dulu, dikejar oleh Atok sepanjang tali air sebab malas ke sekolah.Akhirnya memang 'terpaksa' ke sekolah hingga pencen kerana memang periuk nasi mama di sekolah.

Harapan kami, semoga penghijrahan kami ke bumi Kedah ini memberi lembaran yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah serta di anugerahkan Allah rezeki yang melimpah ruah, keluarga yang semakin bahagia, anak-anak yang semakin bijak dan solleh....Mudah-mudahan...

11 January 2010

Murah dan mahal banget...

Pagi tadi semasa di kantin aku makan nasi berlaukkan seketul ayam masak kurma, seekor ikan masin tamban dan ulam pucuk gajus.Pekerja kantin mengira makanan yang aku ambil.RM2.Terkejut aku.2 kali aku bertanya untuk kepastian.Memang jelas RM 2.Bukan terkejut sebab mahal tetapi terkejut sebab murah.Aku ambil nasi bukanlah nasi separuh, tetapi nasi penuh dan masak kurma ayam bukanlah kuah yang cair(seperti kantin di sekolah lamaku) tetapi masak kurma yang pekat dan amat lazat.Aku hairan jugak kenapa murah sangat kakak kantin tu kira.Takut tak balik modal pulak nanti...Ini pertama kali aku makan nasi di kantin.Sepanjang seminggu hari persekolahan ini aku lebih gemar makan laksa penang.Sebabnya memang berbaloi makan laksa penang di sini.Kuahnya pekat dan memang laksa penang ori.Selalu aku kempunan makan laksa penang di Port Dickson sebab laksa penang yang dijual tidak menepati piawaian yang sebenarnya.Jadi, aku memang membalas dendam makan laksa sepuas-puasnya terlanjur aku memang menetap di sini.
Pagi Jumaat tadi pula,kebetulan cuti sekolah aku pergi ke pasar di Sungai Yan untuk membeli ikan dan sotong.Danial dan Anis memang gemar makan udang atau sotong masak sambal.Di pasar itu tiada tanda harga dipamerkan.Aku pun memilih sotong.Tak sampai pun sekilo.Cukup sekali masak.RM10.Kata sipenjual.Terkejut aku.Berapa sekilo? RM16 jawab sipenjual.Iskh...mahalnya.Getus hatiku.Di Port Dickson, lebih besar dari ini pun hanya RM11.Aku selalu membandingkan antara harga di PD dan di sini sebab kedua-duanya kawasan nelayan.Bezanya PD kawasan pelancongan yang terkenal.
Balik ke rumah sotong 'mahal' tu pun selamat di masak sambal.Memang sedap dan menyelerakan.
Petang selepas sekolah hari ini aku pergi ke Gurun.Balik dari Gurun, aku singgah sebentar di pasar Guar Chempedak.Wah...banyaknya hasil tangkapan laut yang masih lagi segar.Udang lipannya besar dan segar sekali.Tapi, aku geli pula hendak beli.Sebiji macam lipan...Sotong,ikan dan udang nampaknya baru naik dari laut.Tapi yang tidak seronoknya tanda harga tidak dipamerkan.kalau di PD dah lama kena kompaun oleh penguat kuasa.(aku memang selalu bandingkan PD dan Yan).Enggan terkena lagi sotong mahal aku tanya dahulu harga sotong yang hendak dibeli.RM4 jawab sipenjual.2 kali aku bertanya sebab keliru Rm14 atau RM4? Memang jelas RM4.Terkejut aku sebab murah pulak...saiznya memang sama dengan aku beli di Sungai Yan.Malah di Guar Chempedak lebih segar lagi.Wah...beza harganya hingga 4 kali ganda....Aduh...selepas ini aku lebih sanggup ke Guar Chempedak yang jauhnya 8 km dari rumahku untuk membeli barang basah kerana harganya yang amat jauh berbeza...
Itulah kisah aku dan harga di Yan.Kena bijak mencari tempat yang murah...Kena rajin bertanya pada rakan-rakan yang sudah lama menetap di sini...

10 January 2010

Apabila gambar aku di Harian Metro.

Pagi Jumaat aku dikejutkan dengan SMS Kak Zainon, rakanku dari SK Lukut."Hai, masuk Metro nampak.Bila diwawancara?" Aku senyum.Mana taknya, aku pun belum beli lagi akhbar pada hari itu.
Tengah hari itu, aku dan suami dalam perjalanan ke Yan.Kami singgah di kedai runcit untuk membeli akhbar Metro.Aku memandu kereta, suamiku membelek lembaran demi lembaran untuk mencari cerita yang turut memuatkan gambar aku.
Tiba-tiba suamiku ketawa."Bulatnya mama dengan Danial".Aku menjeling akhbar di tangannya.Aku pun turut ketawa.Hai...gambar ini rupanya yang dimuatkan dalam Metro.
Baru aku teringat.Pada petang hari Rabu, aku telah menerima SMS dari Siti, rakanku yang bertugas di harian Metro.Dia minta aku memberikan kerjasama kepada rakannya untuk membuat satu artikel berkenaan tadika kerajaan dan tadika swasta.Atas dasar persahabatan aku memenuhi permintaannya.Gambar aku dan anak-anak pula aku minta cari di laman Facebook.Aku tak sangka pula begitu cepat cerita ini ditulis.
Sampai di Yan, suamiku pula menerima SMS bertalu-talu dari rakan dan adik beradiknya yang hairan bila pula wartawan datang ke rumahku untuk membuat temuramah.Aku dan suamiku ketawa.Tugas wartawan sekarang semakin mudah seiring dengan kemajuan teknologi maklumat.Selagi teknologi dimanafaatkan dengan sebaik-baiknya, pasti ia membawa kebaikan.
Suamiku sempat bergurau" mujur gambar abang tak ada.kalau ada, glamour abang kat balai."