22 December 2009

Kedah, syurga makanan.

Hampir sebulan aku tinggal di Yan.Alhamdulillah proses memindahkan barang ke sini berjalan lancar.Semasa berpindah, suamiku telah menggunakan khidmat 6 orang yang diupah untuk mengangkat barang ke lori.Terima kasih pada jiran-jiran yang sudi membantu.Budi baik kalian tetap aku ingati.
Sampai ke kedah, keluargaku sudah menunggu.Mak dan Kak Cik bertungkus lumus memasak nasi dengan pelbagai lauk untuk dijamu kepada orang-orang yang membantu mengangkat barang.Ramai rakan-rakan suami dari IPD Yan turut membantu.Sambil mengangkat barang, sambil bergurau.Kerja yang berat terasa ringan.Seronok aku lihat semuanya menjamu selera dengan hasil masakan emak dan Kak Cik.
Hari ini, aku semakin selesa tinggal di sini.Setiap pagi, mencari sarapan bukan lagi satu masalah.Dengan hanya membawa wang RM3 aku boleh mendapat 6 bungkus nasi lemak daun pisang.Makanan kesukaan Danial.Dengan RM1 aku boleh mendapat 4 ketul kuih.Jika di Lukut, dengan RM1 hanya 2 ketul kuih mampu aku perolehi.Minum petang? bukan lagi masalah.Deretan gerai yang menjual pelbagai juadah di Sungai Yan menggamit aku kesana setiap petang.Jemu makan nasi, sekali sekala aku membeli bihun sup utara atau mee udang yang lazat sekali dengan hanya RM2.50 sebungkus.Kalau kat Lukut, tak dapat dengan harga sebegini.Aku perhatikan kebanyakan harga makanan di sini lebih murah antara 50sen-RM1 jika dibandingkan dengan Port Dickson.
Satu lagi yang seronoknya tinggal di sini, pada pagi Isnin berdekatan dengan rumah sewaku, terdapat satu pekan hari yang orang sini panggil Nat.Kat sini banyak ikan yang masih segar-segar kerana ramai nelayan yang datang berniaga dengan membawa hasil tangkapan yang baru ditangkap.Harganya memang lebih murah dari di pasar.Ikan sembilang yang dijual masih lagi hidup dan melompat-lompat di atas plastik yang dihampar di atas tanah.Udang yang dijual juga bukanlah hasil ternakan sepertimana di PD sebaliknya hasil tangkapan di sungai.Walaupun harganya lebih sedikit, tetapi memang berbaloi kerana isinya yang manis dan bersari.
Jika di PD jika ingin menikmati ikan bakar yang lazat terpaksa menunggu malam tetapi di sini, makan tengah hari juga ada dihidangkan ikan bakar yang lazat.Jelatang Ikan Bakar.Salah satu restoran yang menjual ikan bakar yang lazat.Sepanjang laluan, terdapat banyak sekali restoran atau gerai makanan.Bersepah-sepah.pilih sahaja yang mana satu.Sarapan pun boleh jumpa makanan seperti makan tengah hari kerana penduduk di sini bersarapan dengan makan makanan yang berat seperti nasi dan lauk.
Jika ke Tanjung Dawai, memanglah syurga makanan laut.Namun, aku masih belum berkesempatan ke situ kerana kaki suamiku masih belum sembuh sepenuhnya.Masih bertongkat.Suamiku agak segan ke tempat awam dengan berkeadaan seperti itu.
Danial dan Anis pula agak demand sekarang.Makan malam tak mahu makan nasi.Setiap hari nak burger.kat Lukut dulu aku malas hendak pergi ke gerai burger sebab agak jauh dari rumah.Terpaksa berkereta.Di sini, mereka sudah berani pergi sendiri kerana jarah antara rumah aku ke gerai burger hanya kira-kira 50 meter jauhnya.Lebih memudahkan, aku akan order guna telefon.5 minit kemudian, terkedek-kedek dua beradik ni pergi ambil burger yang sudah siap sekali dengan duit di tangan.Hai...makin montellah abak-anakku bila tinggal di sini...