17 May 2010

Sabar, tabah dan redha...


Kalian sumber kekuatan diriku...
4 Mei 2010 - Seperti biasa rutin harianku bermula seawal 5.30 pagi.Menggosok baju sendiri dan anak-anak, menjerang air , bersiap ke sekolah, menyediakan bekalan Danial dan Anis.Pukul 1.40 aku sudah pulang ke rumah.Entah mengapa hari ini terasa letih dari hari biasa.Sempat lagi aku melayari internet memesan baby sling dan cooler bag secara on line.Senak rasa perutku.Aku lelapkan mata sebentar.Danial dan Anis sedang asyik menonton TV.Abah pula sudah ke tempat kerja.Hari ini abah kerja 4-12 malam.

Tiba-tiba aku terbersin.Serentak dengan itu, terasa seolah-olah ada cecair yang keluar.Aku masih bermalas-malas di atas katil.Aku bangkit dari katil untuk mandi.Aku lihat jam sudah pukul 5 petang.Tergamam aku.Kain aku ada kesan darah.Cadar tempat aku berbaring juga ada kesan darah.Namun, aku tidak merasa sebarang kesakitan.

Dengan tangan terketar-ketar aku telefon abah.Abah minta aku segera ke hospital bahagian kecemasan.Anak-anak tinggal di balai, tempat abah bertugas.Abah tidak boleh menghantar aku ke hospital kerana bahagian gerakan hanya abah seorang yang bertugas ketika itu.Mana mungkin mencari pengganti secara tiba-tiba.

Aku segera mandi dan siapkan anak-anak sekali.Anak-anak aku hantar ke balai tempat abah bekerja dan aku segera ke hospital.Kebetulan ada kemalangan yang berlaku di situ.Bahagian kecemasan agak sibuk dan penuh dengan waris mangsa kemalangan.Aku dipanggil masuk setelah menunggu kira-kira 20 minit.

Doktor Ruben segera scan perut aku setelah mendengar masalah aku."Nampak macam ada sedikit masalah di sini".Kata-kata dr Ruben mencemaskan aku.Tidak putus-putus aku berdoa agar baby aku selamat.Air kencing aku diperiksa.Keputusan adalah positif...Lagi sekali aku diminta berbaring.Staf nurse meminta aku bertenang sebab doktor hendak memasukkan sejenis alat ke dalam rahimku.

Doktor Ruben minta aku bermalam di wad untuk dia memantau keadaan aku.Jika scan esok pagi masih tidak memuaskan, aku akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kerana disana ada doktor pakar dan cukup peralatan.

Aku telefon abah.Aku minta agar abah berdoa supaya baby kami sihat sejahtera.Aku usap perut sambil berbisik "Baby, mama sayang baby...bertahan ya..."

Malam itu aku bermalam di wad Hospital Daerah Yan.Abah dan anak-anak datang membawa pakaian dan barang keperluan lain."Mana baby mama?" tanya Anis.Oh, anak-anakku masih tidak faham apa yang berlaku.Mereka ingat aku hendak bersalin agaknya.Danial yang agak matang memberitahu adiknya yang mama sakit sebab keluar darah kat ##.Mana dia tahu entah...budak-budak zaman sekarang.

Malam itu aku payah hendak pejamkan mata.Berbagai perkara bermain di fikiran.

5 Mei 2010- Pagi-pagi lagi aku dipanggil untuk scan dan ujian air kencing.Keputusan masih positif.Scan masih juga menunjukkan seolah-olah tiada janin di dalam rahim.Namun, kelihatan placenta masih utuh di tempatnya.Dr.Ruben mengambil keputusan agar aku bersiap kerana aku akan di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah.

Di Hospital Sultanah Bahiyah lagi sekali doktor pakar scan perut aku.Di sini jelas kelihatan placenta sudah ada rekahan dan janin juga kelihatan tidak lengkap.Doktor mengucapkan takziah kerana sudah sah kandunganku mengalami keguguran.Aku rasa sangat hiba.Hampir-hampir aku meraung.Doktor menepuk bahuku meminta agar aku bersabar dan redha.

Aku dihantar ke wad Kenanga 2D.Nurse yang bertugas memberitahuku yang esok aku akan dihantar ke dewan bedah untuk dicuci rahimku.Doktor datang membuat pemeriksaan.Tanganku dicucuk alat untuk memasukkan air kerana aku diminta berpuasa mulai jam 12 malam ini.Rasa sakit seakan tidak dirasai kerana aku seolah-olah tidak percaya yang babyku sudah tiada.

Aku datang hanya membawa sehelai baju dan tuala.Mujurlah ada kakitangan hospital yang sudi membelikan aku barang keperluan sementara menunggu abah datang.

Abah memberitahuku yang anak-anak dihantar ke kampung kerana tidak ada sesiapa yang dapat menjaga mereka.Tambahan pula wad di hospital ini tidak membenarkan kanak-kanak masuk melawat.Abah bercadang untuk menjaga aku di wad.Tersenyum aku...Manakan tidak.Ibu-ibu lain yang sudah bersalin secara pembedahan pun tidak ada yang menemani masakan aku yang hanya menjalani proses D&C ni minta ditemani waris...

Tepat pukul 12 malam aku seolah-olah bersahur dengan air mineral dan roti pizza yang dibeli oleh kakitangan wad tadi.Aku tidak ada mood hendak berbual-bual dengan rakan satu wad kerana aku sering memikirkan bagaimana keadaan aku esoknya.Tambahan pula aku sering mendengar yang proses D&C ini lebih sakit dari bersalin.Aduh...ngeri aku.

6 Mei 2010-Kira-kira pukul 5 pagi aku dikejutkan nurse kerana doktor hendak memasukkan ubat untuk melembutkan rahim.Sebanyak 3 biji ubat dimasukkan ke dalam rahimku.

Semasa bersarapan, aku terasa sakit perut seperti senggugut.Untuk mengurangkan rasa sakit aku habiskan masa dengan tidur.

Kira-kira pukul 10 pagi, aku terasa seolah-olah ada sesuatu hendak keluar.Aku masuk ke tandas.Nurse berpesan agar aku tunjukkan apa sahaja yang keluar pada mereka.Terkejut aku.Keluar banyak ketulan darah dari rahimku.Darah yang keluar seolah-olah hati lembu warnanya.Hampir 1 jam aku di dalam tandas.Takut,ngeri semuanya ada.Akhirnya keluar satu ketulan seolah-olah uri bayi.Aku panggil nurse yang bertugas dan ketulan tadi dimasukkan kedalam botol untuk ditunjukkan pada doktor.

Nurse masuk ke tandas dengan membawa baju putih.Aku diminta menukar pakaian dan memakai pakaian itu dan bersiap sedia untuk dihantar ke dewan pembedahan.Darah masih banyak menitis.

Dengan seribu doa aku ditolak ke dewan pembedahan.Nurse yang bertugas meminta izin supaya aku memberi laluan kepada seorang ibu yang hendak bersalin dan bayinya sudah lemas.Aku mengangguk setuju kerana ibu itu lebih memerlukan rawatan segera.Aku dapat rasakan aliran darah makin banyak keluar...

Akhirnya giliran aku sudah tiba.Semua kakitangan bahagian pembedahan kelihatan masih muda.Doktor yang mengetuai operasi itu seorang lelaki dan berbangsa Cina.Dengan senyum semua kakitangan di situ meminta agar aku bertenang dan menarik nafas panjang.Dengan tiga kali sedutan gas, aku tidak sedar apa yang berlaku.

Sayup-sayup namaku dipanggil.Aku lihat aku sudah ditukarkan pakaian lain.Pakaian sebelum itu aku percaya penuh dengan darah.

Aku diminta berehat di wad semula.Aku bangun untuk mandi kerana dari pagi tadi aku tidak mandi.Adik di sebelah katilku memberitahu yang abah ada datang dan menungguku hingga waktu melawat tamat.Aku menelefon abah dan meminta agar membawa nasi kerana perutku amat berkeroncong.

Abah masuk menghantar makanan kepadaku dan terpaksa beredar segera kerana pengawal pintu wad itu hanya membenarkan abah masuk 5 minit sahaja.Aku makan dengan berselera sekali walaupun hanya nasi goreng lauk ikan bilis yang dibeli abah di kafeteria hospital.Abah kata mak aku pesan agar jangan makan sebarangan kerana orang keguguran sama pantangnya dengan orang selepas bersalin.

Waktu melawat jam 5.30 petang, abah datang sekali lagi.Abah kata tak ada rezeki kita kali ini.Terimalah ketentuan takdir.

Malam itu abah bermalam di Butik Perkahwinan Ratu Mempelai milik adik iparku di Alor Setar.Aku juga sudah boleh menerima hakikat akan kehilangan bayi yang aku kandung selama 3 bulan itu.

Aku juga sudah dapat berbual-bual dengan pesakit lain.Aku agak sedih melihat orang lain ada bayi disamping.Aku pula penampilan seperti selepas bersalin dengan memakai stokin tetapi bayi tidak ada...

Untuk menghilangkan kebosanan aku pergi menonton televisyen di lobi wad sambil berbual-bual dengan pesakit lain dan mak cik jaga di situ.

Malam itu, sebelum tidur aku menjengok ibu yang aku beri laluan kepadanya untuk dibedah terlebih dahulu.Dia kelihatan masih berbaring tetapi boleh berbual.Anaknya perempuan dan ditempatkan di wad lain untuk pemerhatian doktor.

7 Mei 2010-Aku mandi dan sudah memakai pakaian untuk pulang.Doktor memberitahu aku yang aku boleh pulang tengah hari itu.Aku khabarkan berita itu pada abah.

Aku lihat ibu yang baru bersalin secara pembedahan yang aku beri laluan kepadanya itu bangun dan ke bilik air.Tiba-tiba aku lihat dia berpatah balik dan rebah di atas kerusi.Dia melambai-lambai tangan kepadaku dengan menyatakan" akak penat...akak penat".Aku segera memanggil nurse yang bertugas.Kakak itu dibaringkan dan diberi bantuan pernafasan.Kelihatan juga ramai doktor ke situ dan suasana agak cemas.Aku tidak dapat melihat apa yang berlaku kerana tirai ditarik oleh nurse.

Tidak lama kemudian kakak itu ditolak ke CCU untuk pemerhatian yang lebih rapi.Aku tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana sehingga aku pulang ke rumah, kakak itu masih di CCU.

Abah datang menjemput aku semasa waktu melawat tengah hari.Di dalam kereta, sebelum kereta bergerak, tiba-tiba abah berkata " ada barang tertinggal la," " apa benda lagi?" aku yakin yang semua barang-barang sudah dibawa."Baby kita."Boleh lagi abah buat lawak...aku senyum terpaksa."Jangan la sedih, tahun depan ada lagi baby," yakin aje abah menuturkan kata-kata itu.

Hari ini, 18 Mei 2010- Aku masih lagi bercuti.Doktor bagi cuti selama 2 minggu.Rasa bersalah pada murid-muridku.Guru mereka ini dalam tempoh 5 bulan persekolahan sudah banyak kali bercuti.InsyaAllah akan kutebus masa mereka dengan pengajaran yang bersungguh-sungguh...

Emak menemani aku di rumah.Setiap perlakuan dan makananku diselia kerana aku dianggap seperti wanita berpantang.Aku turutkan asalkan aku sihat sejahtera.Di sini, terlihat lambang kasih ibuku tiada taranya walaupun anaknya ini sudah besar panjang...

Dikeheningan malam ini, aku berdoa agar aku diberi kesempatan lagi untuk menimang cahayamata kerana sudah 5 tahun rumah ini sunyi dari tangisan anak kecil...