15 September 2009

Doakan aku.

Dari awal bulan tadi aku dah isi borang Cuti Rehat Khas.Aku tulis sebab memohon cuti tu panjang berjela...Sebabnya 6 orang lagi turut mengisi borang yang sama.Semuanya nak balik kampung awal untuk beraya.Yang kelakarnya, masa meeting Guru Besar siap baca alasan yang aku berikan untuk cuti tu."Mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa pulang ke kampung.(saya memandu sendiri tanpa ditemani suami).GB kata"cuti Hasliza ni kalau saya tak luluskan memang kejam betul saya.Siap memujuk dengan kata-kata yang sangat menyentuh hati."Berderai ketawa staf masa meeting tu...

Tiba-tiba hari ni, kecoh kat 'meja gebang-gebang' dalam bilik guru tu beritahu aku yang hari Jumaat ni memang SK Lukut ambil cuti peristiwa.Pulak...Aku pun apa lagi...isi semula borang cuti untuk memohon cuti pada hari Khamis pula...

Mengikut perancangan, aku akan bertolak pulang ke kampung dengan mak dan anak-anak pada pagi Khamis.Mak kata selepas subuh kita bertolak ke kampung...

Kuih raya kali ini aku peruntukkan untuk 3 buah rumah.Rumah aku, rumah mak di kampung dan rumah hubby di Kedah...Semasa aku kemaskan barang-barang, balang kuih raya sahaja dah penuh kereta aku.Termasuklah kuih raya untuk mak mentua dan tikar buluh mak yang baru dibeli di Nilai 3...Pandai-pandai la aku susun barang dalam kereta nanti.Inilah kelemahan kereta yang tak ada boot kereta.Tempat letak barang sekali dengan tempat penumpang...

Hubby kata kereta baru aje dia servis.Tapi, aku agak hairan jugak dengan tayar hadapan kereta aku ni.Baru aje aku masukkan angin, dah kempis semula...Enggan berperang dengan risiko, aku bawak kereta aku ke pusat tayar Lukut.Ini pertama kali aku pergi situ.selalu hal berkaitan kereta,hubby yang uruskan.Nak buat macam mana...di sini 100% urusan aku tanggung sendiri.Mujurlah ada juga insan-insan yang simpati sudi menghulurkan bantuan kala dipinta.
Periksa punya periksa, rupa-rupanya tiub tayar tu bocor.Mekanik tu kata sebab tu la angin tayar keluar sedikit demi sedikit...Aku minta dia ceck semua tayar.Akhirnya, 2 tayar hadapan ditukar tiubnya...Mujur la tak ada kebocoran tayar...Rupa-rupanya murah aje nak tukar tiub kereta tu...RM8 aje...Aku spare duit sampai RM400.Mana la tahu kena tukar tayar ke...

Raya tahun ini memang mencipta sejarah...Sebabnya, aku akan memandu sendiri.Siap minta plan kat member sekolah.Selalu hubby drive aku tak pernah ambil tahu jalan yang dilalui...Sekarang,hanya papan tanda arah ke utara yang menjadi panduan...

Raya tahun ini juga mak menimang cucu yang ke-11.Azman, adikku yang berkahwin pada disember lepas selamat menjadi bapa pada 14 September( semalam).Baby yang masih belum diberi nama ni sepatutnya dilahirkan lagi 3 minggu...Tapi, baby ni nak juga bapa dia bayar zakat fitrah kat dia...Maka dia pun melihat dunia awal dari tarikh jangkaan...Mak kata tak sabar nak tengok muka anak Man...

Harapan aku, semoga perjalanan aku pulang ke kampung selamat dan sejahtera...Doakan aku selamat pulang ke kampung.

02 September 2009

Percubaan Kali Ke-3


Dari Negeri Sembilan ke Kedah...Demi membina sebuah keluarga yang sempurna aku mohon pertukaran ini...

Permohonan pertukaran guru antara negeri bagi tahun 2010 sudah dibuka.Aku baru isi borang secara on line malam tadi.Dengan gigihnya aku membuat 4 salinan dan menyediakan semua dokumen yang dikehendaki.Dan pagi tadi aku dah letak semuanya di atas meja Pembantu Tadbir...Aku buat permohonan pertukaran kali ini tanpa harapan yang menggunung...Tanpa apa-apa kabel...Hati aku rasa dah beku dan tidak mengharap lagi.Kalau ada rezeki aku bertukar, adalah..Kalau tak, di sinilah akan aku teruskan khidmatku kepada anak bangsaku.Komitmenku tidak akan terjejas hanya dengan masalah ini...
Kepada suamiku...andai permohonan pertukaran kali ini masih juga tidak berjaya.Redhalah.Anggaplah ini dugaan Tuhan untuk menguji kesetiaan kasih sayang dan cinta kita.
Walau jarak memisahkan kita, namun kasih yang diikat dengan lafaz suci yang disertai dengan wali dan saksi itu akan tetap subur mewangi...

Nyaris di saman lagi...

Gaya macam ni la kejadian semalam yang berlaku pada diriku...

Semalam petang aku ke The Store Port Dickson dengan Danial.Nak beli baju raya kasual untuk Anis dan Danial.Sudah 2 pusingan bangunan The Store aku pusing nak cari parking.Tapi, masih juga belum jumpa...Aku tengok banyak kereta yang di parking di atas garisan putus-putus di tepi Food Court kat situ.Aku pun tumpang sekaki parking kat situ walaupun hati rasa was-was jugak...

Sedar tak sedar hampir 2 jam aku di situ.Jam dah pukul 5 petang...Sampai aje kat Food Court tu, tiba-tiba aku nampak elok aje polis trafik tengah nak tulis saman kat kereta aku.Aku apa lagi...Terus jalan cepat sambil tekan remote kereta..Polis tu terkejut sebab kereta aku berbunyi...Aku pun dengan tersengih-sengih dan buat muka kesian pergi ke polis tu.

Polis : Mana boleh parking kat sini.

Aku : Maaf la encik.Parking penuh.Ramai yang parking kat sini.Saya pun ikut la...

Polis : Salah tu.Nampak tak garis putus-putus ni..Lain kali jangan main ikut orang.

Aku : Maaf encik...saya tak tahu( bohong sunat...)

Polis : Kali ni saya tak saman.Lain kali jangan buat lagi...

Aku : Terima kasih encik...( sambil urut dada...he..he...selamat aku...)
"Mama ni...nasib baik polis tu tak tangkap mama", kata Danial.Aku senyum pahit.Tambah-tambah ramai jugak yang tengok drama singkat aku tadi."Lantaklah apa orang nak kata," bak kata Waheeda aku menyedapkan hatiku.
Hus...lega aku.Aku rasa ini kali ke 5 aku buat kesalahan yang sama.Parking di tempat yang bukan sepatutnya...Bukannya sengaja.Tapi kat PD ni tempat parking bukannya banyak...Tambah-tambah musim-musim macam ni.Masing-masing parking kereta dan berjalan lama-lama.Aku parking pun bukan kat tempat yang boleh menghalang lalu lintas.Wahai Majlis Perbandaran Port Dickson...tambah la tempat parking di bandar ini...Kita orang pun bayar jugak cukai...

21 August 2009

Puasa tanpa suami di sisi.


Makanan wajib suamiku semasa berbuka...



Kuih apam beras.Kuih yang akan dicari oleh suami di pasar Ramadhan..


Tahun ini, aku ke pasar Ramadhan tanpa ditemani suami...Sedih...isk...isk...Tak apa...tahun ni aku akan ke pasar Ramadhan dengan mak...

Esok umat Islam mula berpuasa.Esok jugalah aku berpuasa tanpa suami di sisi.Malam tadi suami menelefon diriku bertanyakan aku balik atau tidak ke Kedah sempena cuti sekolah ini.Aku menghela nafas panjang.Aku katakan padanya yang aku mungkin tidak pulang ke kedah sebab banyak komitmen lain yang perlu diselesaikan.Satu persatu aku ceritakan sebab musabab aku tidak dapat pulang ke Kedah.


Selasa depan aku akan ambil PTK di SM Kampung Baru Sirusa.Hari Rabu, aku ada temujanji dengan doktor untuk membuang implan di lenganku.Sudah banyak kali hasratku tertangguh.Kini, aku tekad perlu juga buang implan ni.Sudah 4 tahun alat itu tertanam di lengan bimbang timbul apa-apa masalah pula nanti.Hari Sabtu dan Ahad pula aku akan ke UPM kerana ada perjumpaan bersemuka di sana.Aku tidak mahu penat perjalanan belum hilang, aku sudah terpaksa balik ke Lukut semula.Suami pula tidak membenarkan aku memandu sendiri kereta dengan cuma ditemani oleh anak-anak.Suami bimbang aku keletihan.Perjalanan 6 jam bagi suami cukup meletihkan.Akhirnya, persetujuan dicapai.Suami minta aku habiskan cuti di Lukut.Lagipun mak ada menemani aku dan anak-anak.


Aku tanyakan pula pada suami bagaimana dengan sahur dan juada berbuka abang? Hem...makan nasi bungkuslah nampaknya.Sambil ketawa suamiku menjawab.Kesian aku pada suami...Selalunya, waktu sahur aku akan siapkan makanan dan mengejutkan suami apabila semua makanan sudah terhidang.Suami hanya duduk dan terus makan dengan mata yang separuh terbuka..( lucu tengok telatah dia...macam budak-budak...)Waktu petang, bersama-sama pergi ke pasar Ramadhan mencari juadah berbuka..Berbuka bersama-sama tanpa gangguan anak-anak sebab selalunya anak-anak aku sudah beri makan awal-awal lagi.Kurma makanan pertama yang diambil oleh suami.Sekilo kurma boleh habis dalam masa tak sampai seminggu.Jika tidak bertugas pada waktu malam, pasti surau di kuaters ni akan dikunjungi suami untuk mengerjakan solat terawih.Balik solat terawih, tudung saji dibuka semula untuk makan kuih-muih yang dibeli petang tadi...Selalunya kuih jenis kukus-kukus(kuih orang tua...usik aku..kurang kolesterol...jawab suamiku)...


Mulai esok, aku pasti aku akan rindu suasana seperti itu.Sepanjang 7 tahun perkahwinan, ini pertama kali aku berpuasa tanpa suami di sisi...Mudah-mudahan aku kuat menghadapinya..


17 August 2009

Berakhirnya telenovela "Ana ,Enta"

Genap 33 hari akhirnya Akhil Hayy menikahi Waheeda.Dalam keadaan ini aku kesian pada Maiza, bekas isteri Akhil.Pasti remuk hatinya..
Buat Akhil dan Waheeda, semoga perkahwinan ini berkekalan hendaknya.Tapi, ingatlah...Berbahagiakah anda jika istana ini dibina di atas air mata penderitaan orang lain ??

13 August 2009

Esok aku exam...


Esok aku exam...malam ini sampai ke minit yang terakhir sebelum masuk dewan aku akan pulun study...
Semester ni juga pecah rekod kerana aku masuk dewan periksa tanpa pergi kekelas tutorial...Setiap kali ada kelas kat Kolej Mara Seremban tu, aku ada urusan lain nak dibereskan...Biasa la PJJ.Belajar sendiri dengan ditemani modul dan download nota dari website tu perkara biasa bagi kami...Bukan senang nak senang..
Esok paper Komunikasi Antara Perseorangan.Sabtu pulak paper Komunikasi Massa dan Strategi Perhubungan Awam.Pagi Ahad pulak paper Sosiolinguistik.
Dah rindu nak study dengan akak-akak Seremban Jaya tu...Dah rindu nak makan kat Gerai Penghulu Cantik tu..
Semoga aku berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan kali ni...

12 August 2009

Majlis Perkahwinan Adik Iparku.

9 Ogos tadi rumah aku penuh dengan sanak saudara belah suami.Rumah aku jadi transit sanak saudara sebab dekat dengan rumah pengantin perempuan.Dekat aje, kat Kampung Jawa, Bukit Pelanduk Port Dickson.Dengar cerita adik ipar aku berkenalan dengan isterinya pun sebab selalu turun ke Seremban.Blind date kat Seremban.Lepas dating, pergi rumah aku di Lukut...Sedikit sebanyak aku dan suami memainkan peranan jugak dalam pertemuan jodoh mereka.Kenduri kat kampung suami pulak bulan 10 nanti.Nak tunggu musim menuai kata mentuaku...Semoga perkahwinan adik iparku, Kapten Edris dan isteri,Nurul Huda berpanjangan hendaknya...
Bertambahlah lagi biras aku...Hem...aku adalah menantu perempuan yang pertama dalam keluarga suami...Moga kasih mentuaku tidak berbelah bahagi dengan kehadiran menantu baru ye...


Segak dan tampan tentera yang bawak pedang tu... Anis suka sungguh usik abang tentera tu...

Pengantin di bawa di bawah pedang...tapi, masa nak ambil gambar masa pengantin bawah pedang, punya la ramai orang berebut-rebut nak ambil gambar.Hasilnya, gambar yang aku ambil, tak elok langsung.Ada tangan orang la, masuk ketiak orang...aku pun malas la nak berebut-rebut jugak...Hubby pegang hantaran...tak dapek nak nolong...

Pengantin bersanding di atas pelamin.


Danial dan Anis sempat lagi makan ais krim sementara tunggu pengantin bergambar."Pak cik kahwin..." kata Anis.



Majlis Pernikahan Adik Ipar di Kampung Jawa, Bukit Pelanduk.

Mak mentua dan bapak mentuaku disandingkan di atas pelamin...Tersenyum Encik Mat Saini terkenang kembali saat disandingkan di atas pelamin dengan Puan Esah kira-kira 39 tahun yang lalu.
Wajah ceria sang pengantin...( aku rasa nak gelak jugak sebab ada sorang sepupu tu bisik kat aku,memang adik beradik hubby aku ni taste kat perempuan yang tombam ke? ...aku tembam, yang ni pun agak tembam...)aku jawab " aku nikah dulu tak tembam ye...berat 50kg je...dah anak dua baru tembam....


Saat yang mendebarkan..."aku terima nikah Nurul Huda bt .... dengan mas kahwin RM200 tunai..."Sah.Dengan sekali lafaz, adik iparku sudah bergelar seorang suami...

Pengantin sedang khusyuk mendengar khutbah nikah.Mesti dengar dan faham tanggung jawab seorang suami...Isteri adalah satu amanah yang diberi oleh Allah kepada seorang lelaki yang bergelar suami.



07 August 2009

Lega rasanya...

Aku baru aje menyudahkan asgmnt individu yang terakhir.Masih ada lagi asgmnt berkumpulan yang belum siap.Tapi aku dah rasa lega... Rasa macam baru lepas dari memikul batu di atas kepala...Memang selalu aku jadi macam ni...Selalunya keadaan ini berlaku semasa awal buka semester pengajian...Biasa la aku ni jenis last minit punya orang...Sejak dari dulu lagi...Selalu buat kerja di akhir-akhir garisan.

Akibatnya, aku sendiri yang tercungap-cungap menyiapkan tugasan.Masa ni la nak tengok aku kalut giler...buat tak tahu aje kat anak-anak.Kalau ada hubby, semua kerja dia kena bereskan..Nak tengok aku senyum? memang jarang.Hubby selalu kata ' muncung time...'.Mujur la dia faham..

Tapi, keadaan macam ni selalunya tak lama.Paling lama pun sebulan..Hasilnya, selepas semua tugasan selesai.Huh...leganya hanya Tuhan yang tahu.Satu kepuasan yang tak dapat digambarkan.Kepada suami,anak-anak dan mak, terima kasih banyak-banyak kerana memahami diriku ini...InsyaAllah keadaan ini tidak akan berpanjangan.Tahun depan aku akan habiskan pengajianku.Tak sabar nak konvo...

01 August 2009

Mengapa aku dah lama tak menulis...

Sejak kebelakangan ini aku rasa macam malas aje nak tulis apa-apa catatan dalam blog ni.Bukannya sengaja, tapi sebab kurang motivasi dan kepala yang penuh serabut...
Sebab apa pulak kepala serabut???




Sebab...exam dah dekat...Baca buku satu hapah pun tarak lagi...




Sebab baru dua asigment siap...Lagi 3 belum siap...Date line makin dekat...Aduh...aku rasa macam duduk atas bara api sekarang ni...



Sebab rindu pada lelaki handsome di atas....Sabar...sabar...Jumaat ni abah balik Lukut...Sabar...sabar...

ke Zoo Negara

Tadika tempat Danial dan Anis bersekolah buat rombongan ke Zoo Negara.Aku rasa dah lama aku tak pergi ke Zoo Negara.Kali terakhir pergi semasa zaman persekolahan dulu...Danial pujuk aku supaya pergi sekali sebab cikgu Tadika tu kata ibu atau bapa kena ikut supaya senang nak kawal anak masing-masing.Tambang pun tak mahal.Untuk Danial dan Anis masing-masing RM15 seorang dan untuk tambang aku sendiri Rm20.Kesian dengan anak-anak, aku pun setuju la.Walaupun risau gak sebab boleh ke aku kawal dua orang anak aku yang ligat ni seorang diri.Tapi bila ingat cikgu dia pun ada, aku pun rasa konfiden la ckit.

Danial dan Anis tambah seronok bila member kamceng depa kat kuaters ni, Husna, Adam dan Nisah pun pergi jugak...

Salah satu aksi yang membuatkan anak-anakku ketawa sambil mengeliat kegelian..." Mama, monyet tu jilat bontot kawan dia...eee..."

Anis sempat lagi bergaya semasa di dalam bas.Anis kata ' Lepas ni kita balik kampung naik bas ye mama.Seronok la naik bas."Hem...aku rasa lepas ni akan aku beri cadangan pada hubby untuk cuba bawak anak-anak balik kampung naik bas atau kereta api pulak.. beri pengalaman kepada anak-anak...Biar mereka rasai sendiri macam mana abah dan mama depa ni dulu masa bujang berebut-rebut naik bas untuk pulang ke kampung.Sekali sekala berubah angin...



Anis gelak geli hati tengok gajah menari-nari sambil berak berderai-derai ke tanah...



Bergaya di atas train.Gaya aje lebih.Tak jalan pun train tu...(masing-masing pakai topi yang dibeli di dalam zoo.ada kipas yang boleh berpusing guna tenaga solar)


Danial, Anis and the gang.Adakah Danial berpotensi untuk membesar seperti abang berbaju biru itu?


Lihatlah betapa besarnya Danial.Orang yang umur 6 tahun pun tak besar macam dia yang baru berumur 5 tahun...Mama dia pandai jaga dan cukup makan...( ayat nak sedapkan hati)




Danial tengah kusyuk tengok show anjing laut dengan burung nuri.Anis pulak asik membelek selipar baru.


Selepas pergi Zoo, kami pergi ke Putrajaya dan Nilai3.Penat sungguh la...Mujur la Danial dan Anis baik dan mendengar kata.Lain kali mama bawak lagi rombongan sekolah ye...


Danial dan Anis kata "Mama, lepas ni kita ajak abah pergi Zoo Taiping pulak ye..."

12 July 2009

Wadai Kipeng kuih Banjar


Hari ini genaplah usiaku 32 tahun.Alhamdulillah dan syukur pada Allah kerana memberi aku peluang untuk menghirup udara nyaman dan melihat alam semesta ini.Aku juga amat bersyukur kerana berpeluang merasa zaman kanak-kanak,remaja,berkerja,berumahtangga dan beranak-pinak.Banyak doaku sudah dimakbulkan.Terasa apa yang aku rencanakan, dimakbulkan olehNya.Alhamdulillah...Pintaku, semoga aku diberi peluang untuk melihat anak-anakku berjaya dalam hidup,berumah tangga seterusnya menimang cucu.

Dulu, semasa zaman muda-muda, aku begitu teruja dengan sambutan hari jadi.Zaman maktab dan zaman mula-mula bekerja pasti ada serba sedikit jamuan untuk rakan dan taulan.Kini, seiring dengan peningkatan usia, aku dah tak kisah dengan hari lahir ni.Rasa macam dah tak ada benda.Entah...mungkin banyak tanggung jawab dan agenda yang memenuhi memori otakku.

SMS dan panggilan telefon dari suami amat aku nantikan.Tak sangka pula, suamiku yang tak romantik tu bila duduk jauh macam ni bila menulis bait-bait ucapan, bisa meruntun jiwaku...Betullah kata orang, bila jauh bau bunga, dekat bau ....

Pagi tadi, emak yang tinggal dengan aku membuat wadai kipeng iaitu sejenis kuih tradisional orang Banjar.Mak kata sesuai sangat buat kuih ni sempena ulang tahun kelahiranku...Tak susah buat kuih ni..Cuma nak gentel tepung pulut jadi bulat-bulat dan ditekan di tengahnya makan masa juga.Danial dan Anis pun tolong juga gentel adunan tepung tu.Aku pastikan depa basuh tangan bersih-bersih.Danial kata kuih ni macam duit syiling aje...Emak kata memang kuih ini selalunya dibuat untuk majlis doa selamat atau untuk meraikan sesuatu.Wadai kipeng yang berbentuk seperti duit syiling dan timbul ketika masak memberi 1000 makna yang tersirat.Semoga rezeki dimurahkan dan dipermudahkan...Selepas masak, Danial dan Anis berebut-rebut nak makan.Ini pertama kali depa makan kuih ni.Rasanya yang manis begitu enak tambahan pula ditambah durian bagi menambah perisa...Kak Cik yang kebetulan datang ke rumah aku pun makan wadai kipeng dengan penuh selera...Siap tapau lagi...Rugi pulak rasanya aku tak belajar membuat wadai kipeng ni dari emak.Walaupun nampak senang tapi kena ada ilmu juga untuk membuatnya barulah jadi dan ada umpp..Selain dari wadai kipeng, kuih tradisional Banjar yang sangat enak ialah kalakatar dan balungan ayam.Setiap kali bulan puasa sudah pasti kuih kalakatar ini akan dibuat oleh emak sebagai memenuhi permintaan anak-anaknya.Aku rasa kuih kalakatar emak tidak dapat ditandingi oleh orang lain walaupun sekarang ini kuih itu sudah dikormesialkan.

Pastinya, ulang tahun kelahiranku yang ke32 ini memberi ertinya yang tersendiri...Wadai kipeng, kuih Banjar yang mempunyai seni dan makna yang tersirat...

11 July 2009

Kenduri di Kampung Melayu Kundang.

Pengantin sedang bersanding di pelamin.

Masing-masing sibuk mengambil gambar mempelai di pelamin.

Antara kulaan yang datang.



Selepas pergi kenduri, Anis dan Omey 'naik kuda' di Centre Point.Seronok depa naik kuda..


09 July 2009

PPSMI dimansuhkan.


Ini berita yang aku tunggu-tunggu selama ini.Sebenarnya sejak PPSMI diperkenalkan lagi aku kurang setuju dengan daras kerajaan itu.Namun begitu, siapalah aku hendak mengubah dasar.Aku hanya berjuang agar PPSMI dimansuhkan dan kembalikan Matematik dan Sains diajar dalam B.Melayu melalui kesatuan perguruan sahaja.Selain itu setiap kali ada kajian yang dibuat melalui kaji selidik yang perlu aku isi, aku selalunya akan mengisi borang itu dengan komen yang agak condong ke arah negatif.Walaupun ada suara-suara orang-orang atasan yang meminta agar borang kaji selidik itu kelihatan ' cantik' dan positif, aku masih enggan.Biarlah aku bersikap jujur dan telus.Aku yang mengajar Matematik sudah tentu tahu masalah yang aku dan murid aku hadapi selama ini.

Aku sebagai guru selama ini sebenarnya tidak senang duduk kerana selalu sahaja dipantau oleh pegawai-pegawai pelajaran yang inginkan dasar PPSMI ini berjaya.Aku yang agak lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris sudah tentulah menghadapi sedikit masalah untuk mengajar mata pelajaran itu di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya.Walaupun kursus demi kursus diberi, ujian demi ujian diduduki, agak mustahil untuk aku hendak bertutur Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam kelas.Tambahan pula, keadaan persekitaran anak muridku yang bukanlah 100% datang dari bandar membuatkan kekadang aku terpaksa bertutur juga dalam Bahasa Melayu.Kekadang aku rasa 'berdosa' kerana elaun BISP aku perolehi tapi mengajar tidak sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.Aku boleh menarik nafas lega selepas ini kerana apabila pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu, elaun itu aku tidak perolehi lagi dan hasilnya, 100% pendapatanku 'bersih' dan aku tidak lagi menanggung perasaan bersalah itu.Aku lebih rela tidak dapat elaun sebanyak RM200+ daripada menanggung perasaan bersalah itu.

Sepanjang aku terlibat dengan PPSMI ini juga, aku dapati kaum melayu terus dihambat kemerosotan dan kaum lain seperti India dan Cina semakin menunjukkan peningkatan di dalam mata pelajaran Matematik dan sains.Apa tidaknya, rata-rata murid Melayu menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa berkomunikasi dan terpaksa berusaha dua kali ganda untuk memahami istilah-istilah khusus Matematik dan sains di dalam Bahasa Inggeris.Bagi kaum lain terutamanya India rata-ratanya menggunakan Bahasa Inggeris di dalam pertuturan harian sudah tentulah mereka dapat memahami Matematik dan Sains dengan lebih mudah.Aku boleh tunjukkan markah Matematik yang menunjukkan markah tertinggi dibolot oleh 'kaum-kaum mereka'.Murid Melayu?...beberapa kerat sahaja yang cemerlang..Itupun orang ke tiga atau ke empat selepas 'kaum-kaum itu'.

Aku berharap agar tahun 2012 nanti, memberi harapan baru kepada anak bangsa kita untuk dapat menguasai Matematik dan sains dengan lebih baik kerana sudah diajar di dalam Bahasa Melayu kembali.Ibu bapa juga tidak ada lagi alasan 'saya nak ajar anak kat rumah, saya pun tak faham sangat sebab buku-buku anak saya dalam bahasa Inggeris'.

p/s: Danial mula sekolah tahun satu pada tahun 2011.Aku masih kurang jelas...adakah semasa tahun satu ajar Maths dan sains dalam BI dan semasa tahun 2 dalam BM?...

08 July 2009

Suamiku ke Manek Urai

Mungkinkah mek kelate yang berada di tempat suamiku bertugas secantik seperti gambar di atas?...





Ahad tadi, suamiku telah menelefon aku dan beritahu yang dia akan ke Manek Urai untuk bertugas di sana.Dijangka suamiku akan bertugas sehingga tamat pilihan raya di sana.Didoakan semoga abang selamat pergi dan pulang dari bertugas.

Semalam, aku telefon suami untuk mengetahui perkembangannya di sana.


Antara yang menarik perhatianku ialah:

* cuaca yang dingin di sana.Terutamanya semasa malam.
*makanan yang enak dan menepati selera suamiku..( pelik gak...kan makanan Kelantan manis2 belaka...suamiku tak suka makanan yang manis.)
*mek kelate menurut suamiku come2 belaka.peramah pulak tu.
*mungkin tak sempat nak pergi membeli belah sebab jauh dari Kota Bharu dan kenderaan juga tak ada.

P/S: Abang jangan terpikat dengan mek kelate sudah la...Nak tengok aku ngamuk??cuba la.



26 June 2009

Gigi Danial Sakit

Tengah makan cucuq jagung buatan mak, tiba-tiba Danial kata gigi dia goyang dan sakit.Aku periksa tengok tak ada pulak gigi yang goyang.Danial kata "sakit la mama.Mak Ngah pandai cabut gigi".Aku ajak pergi klinik pergigian Port Dickson, dia tak mahu."Danial nak Mak Ngah jugak cabut".La...nak tunggu Mak Ngah balik jenuh la.Pujuk punya pujuk, akhirnya Danial mahu ke klinik.

Danial mula-mula tak mahu duduk atas kerusi tu.Doktor tu pandai pujuk.Akhirnya Danial sedia beri kerjasama.Tapi, mama jangan duduk jauh tau.Doktor kata " gigi Danial cantik tapi ada satu gigi lubang sikit.Kena tampal ni."Aku risau gak kot2 la Danial tak dapat tahan ngilu.Nampak doktor tu buat rawatan dengan cermat dan lembut.Danial diam aje...


Bila dah siap, aku tanya Danial sakit tak? "Tak sakit pun", kata Danial.Sekarang, Danial dah boleh makan cucuq jagung kegemarannya tanpa sakit gigi lagi...

25 June 2009

Danial, Anis dan Omey...

Danial, Anis dan sepupunya memang kamceng.Nur Farahin atau lebih mesra dipanggil Omey.Petang tadi Omey dan family datang ke rumah.Kebetulan, birthday Anis baru saja lepas.Aku beli pizza 3 kotak.Maka, masing-masing makan pizza yang masih panas tu...Tanpa kek, tanpa tiup2 kek,tanpa majlis apa-apa.Anis pun bukannya faham sangat party birthday ni..Dan memang aku tidak mahu mengajar anak pasal party2 ni.membazir dan mengagungkan budaya barat.Lebih afdal sedekah makan pada golongan yang lebih memerlukan...Omey sampai tak mahu balik ke rumah sebab seronok sangat main dengan Danial dan Anis.Tapi, ajak bermalam di rumah tak mahu pulak...

23 June 2009

Kenduri-kendara di kampung.

Kalau balik kampung, aku semestinya akan meluangkan waktu untuk pergi ke kenduri di sana.Selain dari meraikan majlis perkahwinan, aku juga sangat suka dengan menu kenduri yang tak dapat di tempat lain.Menu yang paling aku suka ialah air asamnya yang sangat lazat.Aku rasa hanya di sesetengah tempat di Parit Buntar saja ada menu air asam ni... Semasa cuti sekolah tempoh hari, banyak juga kenduri yang dihadiri.Cuma tak sempat nak ambil gambar semuanya.Antara kenduri yang sempat di ambil gambar ialah kenduri Mak Teh, Noraini dan Pak Usop.

Selamat Pengantin Baru kepada sepupuku, Shahbuddin bin Jamhari dan pasangannya, cikgu Syikin yang berasal dari Batu Pahat, Johor.Nampaknya perkahwinan ini menyatukan dua rumpun Melayu Banjar dan Jawa.Bertambahlah lagi kulaan aku...
Pengantin sedang menjamu selera di luar rumah.Warna tema pengantin ialah maroon.Dari warna baju pengantin,baju keluarga pengantin,warna kanopi, pelamin, kelambu pengantin semuanya maroon.


Saudara-mara yang hadir semasa kenduri Mak Teh.Kelihatan Mak Teh (tudung maroon) tersenyum gembira kerana mendapat menantu 'cikgu'.Dah lama mengidam dapat menantu cikgu.Akhirnya tercapai juga hasrat.(Ehmm...kenapa orang tua-tua suka cari menantu cikgu ye?...)

Pelamin pengantin di rumah Mak Teh Titi Serong.Tak sempat nak tengok pengantin bersanding sebab dah nak pergi kenduri lain pulak.



Family Haji Sulaiman saja dah penuh 2 meja.



Anis kata " gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati, Terima kasih la ye tuan rumah".

Danial sedang makan dengan penuh berselera.Dia menambah nasi 2 kali.Danial kata " lauk daging masak hitam sedap".
Anis makan nasi di sebelah mak.Banyak dia makan nasi minyak kenduri di Taman Kerian( rumah Usup).



Omey, sepupu Danial dan Anis yang paling kamceng sedang menjamu selera.

20 June 2009

Selamat Pengantin Baru.


Selamat Pengantin baru kepada Noraini bt Lokman dan pasangannya.Semoga berbahagia sehingga ke akhir hayat.


Bulan 9 nanti jangan lupa kita sama-sama isi borang pertukaran ikut suami masing-masing no...

Kenangan Terindah di Cuti Sekolah.

Aku benar-benar merehatkan fikiran semasa cuti sekolah tempoh hari.Cuti selama 2 minggu dimanafaatkan sepenuhnya.Aku terus lupakan soal kerja, soal sekolah,soal pertukaran yang tidak diluluskan...Cuti digunakan sepenuhnya untuk suami dan anak-anak.Terasa macam honey moon bersama anak-anak...kalau ada kesempatan ruang masa dan kewangan, pasti percutian seperti ini akan berulang kembali.


Hotel tempat penginapan yang boleh tahan la.Berpatutan dengan harga dan kemudahan yang diberikan.Hotel Bella Vista.Hanya 1 km dari pekan Kuah.


Abah dan anak-anak bermalas-malasan di bilik.Penat naik feri selama 1 jam setengah masih terasa.

Bersarapan di tempat penginapan.Danial tak selera makan mungkin masih awal.Selalu kat rumah pukul 10 baru sarapan.Mama,abah dan Anis selera aje.



Anis tengah berangan nak jadi jutawan...

Anis dan Danial asyik bermain buih sabun.Ajak mandi di kolam renang tak mahu.Ramai sangat budak-budak yang mandi kat situ.Rimas agaknya.

Membeli-belah di gerai dekat dengan Makam Mahsuri.Beli air gamat,minyak gamat,kain batik dan kain pelikat.Harga kain batik di sini lebih murah dari di pekan Kuah.Kain batik 3 serangkai sehelai RM9.Kalau di pekan Kuah RM10.Kain batik yang elok sikit, kalau di Kuah RM21.Di sini cuma RM18.Tawar punya tawar boleh dapat RM15.


Tanpa berkunjung ke Dataran Lang, terasa tidak lengkap lawatan ke Pulau Langkawi.


Danial dengan gaya macam burung helang dan Anis dengan 'peace'...Abah? kontrol handsome...


Anis dan Danial sempat lagi bergambar semasa di Jeti semasa hendak balik ke Kuala Kedah.


Mandi di Titi Hayun,Yan.Danial dan Anis mula-mula takut.Lama-lama seronok sampai tak mahu balik.


Anis ketawa gembira bersama abahnya...


"Mama tak nak mandi ke?" jerit Anis.


Semua makanan sangat segar sebab baru naik dari laut di Jeti Kuala Muda.Ikan masak 3 rasa sangat enak.Isi ikan terasa segar dan manis.Kami meratah ikan dan kerang sampai kekenyangan sampai ke pagi esoknya.


Membeli ikan bilis,ikan talang masin,ikan tamban dan belacan tumbuk di Tanjung Dawai.Ikan bilisnya sangat segar dan manis bila digoreng.Yang menariknya, semua hasil laut ni diusahakan oleh orang Melayu.Kesucian dan kebersihannya dijamin.Harganya amat berpatutan.Boleh dapat diskaun jika borong dengan banyak.Jarak dari rumah sewa hubby ke bazar ni cuma 8 km.Abang cik pesan ikan tamban sampai 3 kilo.Mak pesan belacan 2 ketul.Aku cuma beli keropok lekor dengan sos aje... Kepada Mak Ngah Yati yang suka ikan bilis tu, boleh le kirim kat my hubby.


Di tepi laut Tanjung Dawai.Banyak bot-bot nelayan lalu di sini.Terasa damai suasana .Boleh dikatakan 99% penduduknya Melayu.Aku suka dengar depa cakap loghat utara yang pekat...