15 January 2010

Kisah persekolahan anak-anakku.

Sudah 2 minggu sesi persekolahan bermula.Sudah 2 minggu juga anak-anakku mula bersekolah di Negeri Jelapang Padi ini.Aku akan tersenyum sendirian bila teringatkan kisah mereka di hari pertama persekolahan.

Danial bersekolah di pra sekolah di sekolah aku bertugas.Anis pula bersekolah di Tadika Matahari Indah.Pada mulanya aku dan suamiku ingin menghantar kedua-duanya ke Tadika Matahari Indah.Namun, kata Danial."Ane nak pergi sekolah mama".Puas dipujuk, namun Danial tetap berkeras hendak ke sekolahku.Aku dan suamiku terpaksa mengikut kerana jika dipaksa nanti timbul pula masalah lain pula.Anis, anak yang mudah membawa diri tetap teruja ke tadika baru walaupun sedar dia bersendirian di situ.Maalumlah, di Port Dickson Anis dan Danial tidak pernah berenggang.

Yuran pendaftaran dan uniform sebanyak 3 pasang bagi pra sekolah Danial berjumlah kira-kira Rm100.Yuran pendaftaran Anis pula sebanyak RM200++.Masing-masing aku belikan 3 pasang uniform.Bezanya Danial berkasut sekolah dan Anis boleh berselipar biasa.3 hari sebelum persekolahan bermula, Danial mula buat hal.Dia tidak mahu ke sekolah...Puas aku pujuk.Akhirnya aku belikan basikal baru seorang sebuah.Suamiku kurang bersetuju dengan pendekatan yang aku gunakan.Bagi aku, jika cara ini mampu memberi motivasi kepada mereka untuk rajin ke sekolah, apa salahnya.Lagipun dulu aku pernah berjanji akan membelikan mereka basikal baru setelah pindah ke Kedah.Akhirnya Danial mahu juga ke sekolah walaupun aku lihat macam terpaksa.

Malam sebelum sekolah bermula, Danial dan Anis sibuk menyusun alat tulis di dalam beg.Beg sudah di susun di tepi pintu.Kasut sekolah sudah dicuba banyak kali.Masing-masing tidur awal takut esok pagi lambat bangun.Danial bangun kira-kira jam 6.30 pagi.Siap mandi dan memakai baju.Anis yang tadikanya bermula jam 9 pagi pun bangun awal.Tidak boleh tidur katanya.Terlalu ghairah hendak ke sekolah baru...

Sampai di sekolah, aku ingin duduk di tempat guru di hadapan tempat perhimpunan.Danial mula buat hal.Dia tidak mahu ke kelasnya.Aku terpaksa menemankannya di tepi tapak perhimpunan.Perlahan-lahan aku pujuk Danial untuk beratur di barisan pra sekolah.Mujurlah dia mahu walaupun muka masam mencuka.

Aku sibuk dengan urusan bayaran yuran murid-muridku.Aku menjadi guru kelas kepada tahun satu.Kesibukan menguruskan murid-muridku membuatkan aku tidak sempat meninjau Danial di kelas pra.Waktu rehat aku jenguk Danial di kelasnya.Kelihatan dia duduk di kerusi dan rakan-rakan yang lain sedang makan mi sup.Danial tidak mahu makan sebab dia nak makan nasi lemak! Aku bawa danial makan nasi lemak sebungkus.Sudah kenyang, dengan girang dia berlari ke kelasnya.

Hari pertama aku hanya sempat berehat selepas pukul 11.30 pagi.Aku ke bilik guru menyiapkan resit yuran.Terlalu asyik hingga terlupa menjemput Danial di kelasnya yang berakhir pada 11.45 pagi.Aku hanya teringat bila aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 12.15...Bergegas aku ke kelasnya.Lengang sahaja kelasnya.Aku ke halaman sekolah.Aku bertanya pada orang di situ.Seorang guru memberitahu yang Danial sedang mencari aku.Aku naik semula ke bilik guru.Kelihatan mak tam, pekerja sekolah itu sedang memimpin Danial yang sedang menangis...rasa nak ketawa pun ada.tapi aku kulum ketawa sebab kalau aku ketawa, makin kuat tangisnya...Puas juga aku pujuk.Sudah reda dari menangis aku ceritakan esok Danial kena makan di kelas Danial sebab cikgu dah sediakan makanan.Kalau mama tak ada, cari mama di bilik guru atau tunggu mama di depan balai sekolah ni.Danial hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

Balik dari sekolah, Anis dan danial masing-masing berlumba mahu bercerita pengalaman di sekolah baru.Anis diuruskan oleh suamiku.Hingga timbul slogan"Danial anak mama, Anis anak abah".Menurut abah, Anis pada mulanya tidak mahu duduk di atas kerusi melainkan abah ada sekali di dalam kelas.Akibatnya abah pun belajar sekali di dalam kelas.Tapi, Anis tidak menangis seperti 3-4 orang murid lain.Dengan kebijaksanaan gurunya menarik perhatian, Anis kelihatan aktif menjawab soalan guru.Abah pula menarik perhatian ibu bapa yang lain kerana masih bertongkat...

Kini, selepas dua minggu persekolahan, anak-anakku semakin matang.Danial sudah mahu bergaul dengan kawan yang lain.Yang kelakarnya pada hari kedua persekolahan, dia mengadu padaku yang dia tidak mahu duduk di sebelah perempuan.Aku meminta Cikgu Norhana, guru Danial supaya menukar tempat duduk Danial .Cikgu Norhana ketawa sebab baru dia tahu kenapa Danial tidak mahu duduk di tempatnya.Danial lebih rela menulis di atas tikar di lantai.Rupa-rupanya Danial tidak mahu duduk sebelah budak perempuan...bagi Danial tidak elok duduk di sebelah perempuan yang tidak muhrim...(aku buat kesimpulan sendiri...)Selepas bertukar tempat barulah danial mahu duduk di atas kerusi sehingga kelas tamat...Macam-macam hal nak terunaku itu.Mujurlah mama satu sekolah dengan dia.Boleh berbisik-bisik dengan cikgu kelasnya...kalau tidak...mahu malas cikgu nak layan feelnya seorang.

Jika hari pertama tidak mahu makan, kini dialah yang paling berselera menjamu selera.Dia sudah tidak kisah aku ada mesyuarat atau ada kelas semasa waktu dia habis kelas.Pandai dia mencari aku di kelas atau di bilik guru.Selalunya dia akan duduk di kerusi di belakang kelas semasa aku mengajar.Persis si pensyarah sedang mencerap guru pelatih mengajar...

Ada satu perkara yang menarik perhatian aku dan suamiku.Danial dan Anis tidak lagi membuang masa di waktu petang dan malam dengan menonton Tv atau bermain.Masing-masing berlumba menyiapkan kerja sekolah mereka.Masing-masing berlumba hendak mengumpul 'bintang' di setiap latihan yang diberi.Memang nampak perubahan yang ketara semasa mereka di PD dengan di sini.Di PD, langsung tidak ada kerja rumah untuk mereka.Di sini, setiap hari sentiasa ada sekurang-kurangnya satu latihan untuk mereka.Guru sekolah masing-masing juga menandakan kerja rumah dengan cop'homework' pada muka surat yang perlu dibuat.Ini memudahkan aku dan suami memantau tugas mereka.Tidak mahu tidur mereka selagi kerja rumah tidak selesai.Bukan takut pada guru mereka sebab memang aku kenal guru mereka.lemah-lembut dan baik...tapi semangat mereka untuk siapkan kerja dan mengumpul 'bintang' membuatkan mereka tekun menyiapkannya.

Satu rahmat juga aku tamatkan perkhidmatan siaran Astro.Di PD, asyik sekali menonton Hagemaru hingga terabai pelajaran.Di sini, tidak ada lagi Astro.selepas jam 9 malam, tiada lagi siaran TV kecuali malam cuti sekolah.Itu disiplin suamiku di sini.Nampaknya, suamiku berjaya mendisiplinkan mereka.Aku dan suami juga berada di meja ketika mereka menyiapkan kerja rumah.Sama-sama memberi sokongan dengan peraturan "tiada siaran TV selepas jam 9".Selepas perkhidmatan Astro ditamatkan juga barulah aku dan suamiku berpeluang menonton berbagai-bagai siaran di TV.Barulah kami tahu selama ini banyak drama yang menarik.Cinta Balqis,Tasbih Cinta, Jangan Tegur Lagi,Ceplos antara drama yang tidak pernah kami 'miss'."Baru berkembang minda" kata suamiku.Mana taknya, dulu asyik-asyik Astro Ceria.Anak-anak memang ceria.Mama dan Abah yang tak ceria...terpaksa menonton rancangan kanak-kanak...Tanpa Astro, duit dapat dijimatkan,anak-anak tidak lagi leka, ibu bapa lebih terbuka minda,hubungan keluarga lebih terpelihara, tiada lagi berebut TV.Marilah tamatkan siaran astro anda.(marah orang astro...)

Anis pula setiap hari ada sahaja lagu yang akan dinyanyikannya.semua lagu Inggeris kerana tadika Anis aliran Inggeris.Terlalu berhati-hati ketika menulis.Langsung tidak mahu salah.Jika aku membawa anak-anak ke pasar atau kedai, pasti ada sahaja budak yang disapanya."kawan sekolah adik", katanya.Yang lawaknya, "nama dia adik tak tahu sebab dia kelas lain."Semalam, Anis terpaksa ponteng sekolah walaupun sudah siap berpakaian gara-gara suamiku tidak jumpa kunci kereta.Sampai petang dia mengomel sebab rasa rugi tidak ke sekolah.Hai...mudah-mudahan rajin ke sekolah sampai bila-bila ya anak-anak mama.Jangan macam mama dulu, dikejar oleh Atok sepanjang tali air sebab malas ke sekolah.Akhirnya memang 'terpaksa' ke sekolah hingga pencen kerana memang periuk nasi mama di sekolah.

Harapan kami, semoga penghijrahan kami ke bumi Kedah ini memberi lembaran yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah serta di anugerahkan Allah rezeki yang melimpah ruah, keluarga yang semakin bahagia, anak-anak yang semakin bijak dan solleh....Mudah-mudahan...

1 comment:

  1. Bravo anak2 makngah.........nanti besar boleh pergi oversea.... belajar rajin2...lepas tudapat jawatan yang baik.... bukan saja menjadi anak yang baik tapi berkhidmat kepada bangsa negara .....

    ReplyDelete

saya suka baca komen anda...saya amat menghargainya.