12 July 2009

Wadai Kipeng kuih Banjar


Hari ini genaplah usiaku 32 tahun.Alhamdulillah dan syukur pada Allah kerana memberi aku peluang untuk menghirup udara nyaman dan melihat alam semesta ini.Aku juga amat bersyukur kerana berpeluang merasa zaman kanak-kanak,remaja,berkerja,berumahtangga dan beranak-pinak.Banyak doaku sudah dimakbulkan.Terasa apa yang aku rencanakan, dimakbulkan olehNya.Alhamdulillah...Pintaku, semoga aku diberi peluang untuk melihat anak-anakku berjaya dalam hidup,berumah tangga seterusnya menimang cucu.

Dulu, semasa zaman muda-muda, aku begitu teruja dengan sambutan hari jadi.Zaman maktab dan zaman mula-mula bekerja pasti ada serba sedikit jamuan untuk rakan dan taulan.Kini, seiring dengan peningkatan usia, aku dah tak kisah dengan hari lahir ni.Rasa macam dah tak ada benda.Entah...mungkin banyak tanggung jawab dan agenda yang memenuhi memori otakku.

SMS dan panggilan telefon dari suami amat aku nantikan.Tak sangka pula, suamiku yang tak romantik tu bila duduk jauh macam ni bila menulis bait-bait ucapan, bisa meruntun jiwaku...Betullah kata orang, bila jauh bau bunga, dekat bau ....

Pagi tadi, emak yang tinggal dengan aku membuat wadai kipeng iaitu sejenis kuih tradisional orang Banjar.Mak kata sesuai sangat buat kuih ni sempena ulang tahun kelahiranku...Tak susah buat kuih ni..Cuma nak gentel tepung pulut jadi bulat-bulat dan ditekan di tengahnya makan masa juga.Danial dan Anis pun tolong juga gentel adunan tepung tu.Aku pastikan depa basuh tangan bersih-bersih.Danial kata kuih ni macam duit syiling aje...Emak kata memang kuih ini selalunya dibuat untuk majlis doa selamat atau untuk meraikan sesuatu.Wadai kipeng yang berbentuk seperti duit syiling dan timbul ketika masak memberi 1000 makna yang tersirat.Semoga rezeki dimurahkan dan dipermudahkan...Selepas masak, Danial dan Anis berebut-rebut nak makan.Ini pertama kali depa makan kuih ni.Rasanya yang manis begitu enak tambahan pula ditambah durian bagi menambah perisa...Kak Cik yang kebetulan datang ke rumah aku pun makan wadai kipeng dengan penuh selera...Siap tapau lagi...Rugi pulak rasanya aku tak belajar membuat wadai kipeng ni dari emak.Walaupun nampak senang tapi kena ada ilmu juga untuk membuatnya barulah jadi dan ada umpp..Selain dari wadai kipeng, kuih tradisional Banjar yang sangat enak ialah kalakatar dan balungan ayam.Setiap kali bulan puasa sudah pasti kuih kalakatar ini akan dibuat oleh emak sebagai memenuhi permintaan anak-anaknya.Aku rasa kuih kalakatar emak tidak dapat ditandingi oleh orang lain walaupun sekarang ini kuih itu sudah dikormesialkan.

Pastinya, ulang tahun kelahiranku yang ke32 ini memberi ertinya yang tersendiri...Wadai kipeng, kuih Banjar yang mempunyai seni dan makna yang tersirat...

11 July 2009

Kenduri di Kampung Melayu Kundang.

Pengantin sedang bersanding di pelamin.

Masing-masing sibuk mengambil gambar mempelai di pelamin.

Antara kulaan yang datang.



Selepas pergi kenduri, Anis dan Omey 'naik kuda' di Centre Point.Seronok depa naik kuda..


09 July 2009

PPSMI dimansuhkan.


Ini berita yang aku tunggu-tunggu selama ini.Sebenarnya sejak PPSMI diperkenalkan lagi aku kurang setuju dengan daras kerajaan itu.Namun begitu, siapalah aku hendak mengubah dasar.Aku hanya berjuang agar PPSMI dimansuhkan dan kembalikan Matematik dan Sains diajar dalam B.Melayu melalui kesatuan perguruan sahaja.Selain itu setiap kali ada kajian yang dibuat melalui kaji selidik yang perlu aku isi, aku selalunya akan mengisi borang itu dengan komen yang agak condong ke arah negatif.Walaupun ada suara-suara orang-orang atasan yang meminta agar borang kaji selidik itu kelihatan ' cantik' dan positif, aku masih enggan.Biarlah aku bersikap jujur dan telus.Aku yang mengajar Matematik sudah tentu tahu masalah yang aku dan murid aku hadapi selama ini.

Aku sebagai guru selama ini sebenarnya tidak senang duduk kerana selalu sahaja dipantau oleh pegawai-pegawai pelajaran yang inginkan dasar PPSMI ini berjaya.Aku yang agak lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris sudah tentulah menghadapi sedikit masalah untuk mengajar mata pelajaran itu di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya.Walaupun kursus demi kursus diberi, ujian demi ujian diduduki, agak mustahil untuk aku hendak bertutur Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam kelas.Tambahan pula, keadaan persekitaran anak muridku yang bukanlah 100% datang dari bandar membuatkan kekadang aku terpaksa bertutur juga dalam Bahasa Melayu.Kekadang aku rasa 'berdosa' kerana elaun BISP aku perolehi tapi mengajar tidak sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.Aku boleh menarik nafas lega selepas ini kerana apabila pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu, elaun itu aku tidak perolehi lagi dan hasilnya, 100% pendapatanku 'bersih' dan aku tidak lagi menanggung perasaan bersalah itu.Aku lebih rela tidak dapat elaun sebanyak RM200+ daripada menanggung perasaan bersalah itu.

Sepanjang aku terlibat dengan PPSMI ini juga, aku dapati kaum melayu terus dihambat kemerosotan dan kaum lain seperti India dan Cina semakin menunjukkan peningkatan di dalam mata pelajaran Matematik dan sains.Apa tidaknya, rata-rata murid Melayu menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa berkomunikasi dan terpaksa berusaha dua kali ganda untuk memahami istilah-istilah khusus Matematik dan sains di dalam Bahasa Inggeris.Bagi kaum lain terutamanya India rata-ratanya menggunakan Bahasa Inggeris di dalam pertuturan harian sudah tentulah mereka dapat memahami Matematik dan Sains dengan lebih mudah.Aku boleh tunjukkan markah Matematik yang menunjukkan markah tertinggi dibolot oleh 'kaum-kaum mereka'.Murid Melayu?...beberapa kerat sahaja yang cemerlang..Itupun orang ke tiga atau ke empat selepas 'kaum-kaum itu'.

Aku berharap agar tahun 2012 nanti, memberi harapan baru kepada anak bangsa kita untuk dapat menguasai Matematik dan sains dengan lebih baik kerana sudah diajar di dalam Bahasa Melayu kembali.Ibu bapa juga tidak ada lagi alasan 'saya nak ajar anak kat rumah, saya pun tak faham sangat sebab buku-buku anak saya dalam bahasa Inggeris'.

p/s: Danial mula sekolah tahun satu pada tahun 2011.Aku masih kurang jelas...adakah semasa tahun satu ajar Maths dan sains dalam BI dan semasa tahun 2 dalam BM?...

08 July 2009

Suamiku ke Manek Urai

Mungkinkah mek kelate yang berada di tempat suamiku bertugas secantik seperti gambar di atas?...





Ahad tadi, suamiku telah menelefon aku dan beritahu yang dia akan ke Manek Urai untuk bertugas di sana.Dijangka suamiku akan bertugas sehingga tamat pilihan raya di sana.Didoakan semoga abang selamat pergi dan pulang dari bertugas.

Semalam, aku telefon suami untuk mengetahui perkembangannya di sana.


Antara yang menarik perhatianku ialah:

* cuaca yang dingin di sana.Terutamanya semasa malam.
*makanan yang enak dan menepati selera suamiku..( pelik gak...kan makanan Kelantan manis2 belaka...suamiku tak suka makanan yang manis.)
*mek kelate menurut suamiku come2 belaka.peramah pulak tu.
*mungkin tak sempat nak pergi membeli belah sebab jauh dari Kota Bharu dan kenderaan juga tak ada.

P/S: Abang jangan terpikat dengan mek kelate sudah la...Nak tengok aku ngamuk??cuba la.